Pemain Venezuela, Salomon Rondon (23) berebut bola dengan dua pemain Peru, Edison Flores (kiri) dan Miguel Trauco. FOTO REUTERS
Pemain Venezuela, Salomon Rondon (23) berebut bola dengan dua pemain Peru, Edison Flores (kiri) dan Miguel Trauco. FOTO REUTERS
AFP

VENEZUELA yang beraksi 10 pemain selepas Luis Mago dibuang padang terikat tanpa jaringan menentang Peru pada perlawanan pembukaan Copa America di Porto Alegre, awal pagi tadi.

Satu mata diraih masing-masing meletakkan mereka berkongsi kedudukan di belakang pendahulu Kumpulan A, Brazil yang memulakan saingan menang selesa 3-0 ke atas Bolivia, semalam.

Peru memiliki peluang terbaik pada aksi di Gremio Arena yang hampir kosong dengan dua kali gol dinafikan akibat keputusan ofsaid berikutan penggunaan Pengadil Bantuan Video (VAR).

“Ia perlawanan sukar, kami tahu ia sukar. Venezuela mempamer banyak peningkatan,” kata pemain pertahanan Peru, Carlos Zambrano.

Perlawanan itu yang dijangka sengit dihangatkan dengan prestasi tidak menentu dipamer penjaga gol Venezuela, Wuilker Farinez namun dia masih berjaya menyelamatkan dua percubaan penting.

“Ia keputusan seri penting. Bagaimanapun ia memalukan kerana kami tidak mampu menang tetapi itulah bolasepak.

Kita perlu meneruskan saingan,” kata Farinez yang dilaporkan menarik perhatian minat gergasi Sepanyol Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 1:25 PM