PELBAGAI pilihan ikut citarasa.
PELBAGAI pilihan ikut citarasa.
Oleh Aniza Zainudin


Sambal belacan sebagai aksesori tambahan bagi menu nasi lemak ayam berempah di U-Cafe, menjadikannya pilihan popular dalam kalangan pelanggan U-Cafe.

Keenakan nasi bersantan mencerminkan resipi asli nasi lemak menghasilkan aroma lazat mampu mengecurkan air liur meskipun belum dijamah.

Mengekalkan hiasan asal nasi lemak seperti ikan bilis goreng dan hirisan timun, ayam berempah dan telur mata kerbau meleng­kapkan sajian berkenaan.

Bagi peminat mi kari laksa Penang, restoran yang memiliki pensijilan halal dari Islah Research Circle ini turut menawarkan menu berkenaan.

Disajikan dalam kuantiti banyak, mi kari laksa Penang ini sangat menyelerakan apatah lagi kuahnya pekat serta daging ayam segar memenuhi selera penggemar.

Demi memastikan pilihan memenuhi citarasa pelanggan, U-Cafe turut menyediakan menu ala barat termasuk ‘portion’ kanak-kanak.

Antara menu wajib cuba adalah ‘Signature Combo Mixed Grilled’ dan ‘Aglio Olio with King Prawn’.

Stik yang digril mempunyai tekstur yang lembut dan mudah dikunyah, dalam masa sama, rasa daging dapat dikekalkan. Dimakan bersama sos lada hitam, berupaya membangkitkan selera.

Menurut Pengurus U-Cafe, Rachael Chin, restoran ini mampu memuatkan kira-kira 90 pelanggan dalam satu masa termasuk ruang bawah dan tingkat atas.

Menjadi cawangan kedua selepas Sungei Wang Plaza, restoran yang memulakan operasi sejak 2012 ini menawarkan perkhidmatan penganjuran majlis di premis mengikut kehendak pelanggan.

“Pelanggan juga boleh menghubungi pihak U-Cafe sekiranya mereka ingin mengadakan majlis istimewa termasuk sambutan hari lahir, ulangtahun dan majlis pertemuan.

“Demi memastikan kepuasan pelanggan, kita menyediakan menu yang diingini mengikut kos serta mereka bentuk dekorasi dan konsep,” katanya.

Menariknya, U-Cafe turut menyediakan pelbagai jenis menu mengikut negara termasuk Indonesia dan Thailand berdasarkan permintaan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 1:44 PM