MI kari hitam.
MI kari hitam.
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani

Penulis tidak sabar menikmatinya selepas melihat warna hitam berkilat dengan aroma rempah kari dalam mangkuk mi yang terhidang depan mata. Sebaik suapan pertama, ternyata ia memiliki keistimewaan tersendiri.

Pemilik kedai makan Damia d Cafe, Nurrhafidzza Hassan berkata, kuahnya yang berwarna hitam itu membuatkan ramai pelang­gan mahu mencuba kerana kuah mi kari biasanya berwarna oren kekuningan.

Katanya, ramai pelanggan bertanya menu istimewa itu dan dia perlu menjelaskan bahawa warna kuah saja berbeza sedangkan rasanya tetap seperti mi kari sebenar.

“Saya tidak menggunakan santan dan kuahnya adalah campuran rempah kari serta pes dibuat sendiri, cuma menggunakan kicap pekat dan sos tiram bersama tepung jagung untuk memekatkan kuah,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Taman Mahkota Putra, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

“Tanpa santan, saya perlu menyukat air dengan tepat untuk mendapatkan kepekatan kuah tanpa menjejas rasa rempah kari. Halia, bawang merah dan bawang putih perlu dikisar untuk mendapatkan adunan sebati.

Nurrafidzza yang dibantu suami, Rohailan Yamin, berkata sejak memperkenalkan mi kari hitam tiga tahun lalu, sambutan orang ramai di luar dugaan.

Dia boleh menjual sehingga 60 mangkuk mi kari hitam sehari dengan harga RM5 semangkuk bersama campuran ayam, bebola ikan, kek ikan, telur rebus manakala kerang diletak atas permintaan pelanggan dengan bawang goreng dan hirisan cili padi untuk mereka yang suka pedas tambahan.

“Memang ramai yang agak pelik apabila kain rentang tertera tulisan ‘mi kari hitam’ dan setiap kali mengambil pesanan, pelanggan ingin tahu lebih lanjut mengenai menu istimewa itu.

“Ramai pelanggan belum pernah melihat atau makan mi kari hitam sedangkan ia makanan keluarga yang diperkenalkan ibu sejak kami kecil,” katanya.

Nurrhafidzza berkata, sebagai permulaan dia hanya memberikan secara percuma kepada pelanggan, tetapi selepas mereka mendapat tahu keenakan masakan itu, ramai yang memesan atau memberitahu kenalan yang lain.

“Ibu, Norela Abd Gani, tidak percaya dan gembira mi kari hitam mendapat sambutan orang ramai,” katanya.

Damia d Cafe turut menyediakan menu nasi ayam hainan, nasi ayam black pepper dan nasi ayam cendawan.

“Untuk sos lada hitam, saya guna resipi keluarga dan ternyata ia mendapat sambutan pelanggan.

“Ayam akan diperap dengan campuran halia, bawang dan rempah perapan untuk tempoh sejam sebelum dikukus dan digoreng,” katanya.

Bagi yang gemar rasa pedas ‘terlampau’, Damia d Cafe menyediakan air lada dan sos kicap pekat menggunakan cili padi untuk hidang nasi ayam.

Istimewanya kedai makan ini ialah pelanggan boleh mengambil minuman teh-0 ais dan sirap ais percuma setiap hari sebagai penghargaan kepada pelang­gan.

Damia d Cafe yang beroperasi setiap Isnin hing­ga Sabtu mulai jam 8.30 pagi hingga 11 malam turut menyediakan menu mi jawa Sungai Lembing, mi bakso, rojak ayam dan rojak ayam mi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:38 AM