ASAM pedas ikan ala Nyonya di Restoran Sambal Chilli dihidangkan panas dalam mangkuk tembikar.
ASAM pedas ikan ala Nyonya di Restoran Sambal Chilli dihidangkan panas dalam mangkuk tembikar.
KARI ayam hijau turut menjadi pilihan.
KARI ayam hijau turut menjadi pilihan.
MASAKAN ikan siakap dengan sos istimewa dari Restoran Sambal Chilli, diberi nama ‘Flying Fish’.
MASAKAN ikan siakap dengan sos istimewa dari Restoran Sambal Chilli, diberi nama ‘Flying Fish’.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Asam pedas, juadah tradisi rakyat Malaysia dan menjadi kegemaran ramai tanpa mengira keturunan, dikatakan berasal dari Melaka.

Bagaimanapun, ada pelbagai jenis dan cara penyediaan asam pedas mengikut negeri di Malaysia yang setiap satunya tampil dengan resipi tersendiri.

Pasti ramai tidak pernah menikmati asam pedas yang dimasak mengikut resipi turun-temurun golongan Nyonya dari Melaka.

Penulis berkesempatan merasai hidangan itu di Restoran Sambal Chilli di pusat beli-belah Atria, Damansara Jaya, Petaling Jaya.

Sebaik dihidangkan, aroma dan ‘wajah’ hidangan itu saja sudah cukup untuk menambat selera dan mampu membuat kita kecur air liur.

Asam pedas ikan di Restoran Sambal Chilli disediakan secara individu, iaitu hanya dimasak apabila pelanggan membuat pesanan bagi mengekalkan kesegaran dan dihidangkan panas dalam mangkuk tembikar bagi mengekalkan suhunya.

Menggunakan ikan siakap, juadah itu turut dilengkapi sayuran wajib bagi asam pedas iaitu kacang bendi dan diberi kelainan dengan tambahan tauhu kering.

Rasanya yang tidak terlalu pedas pasti menggamit minat kanak-kanak mahupun warga emas mencuba juadah itu yang dimakan bersama nasi putih.

Ketua Pegawai Operasi Restoran Sambal Chilli Rosni Hassan berkata, resipi asam pedas ikan diolah khas oleh cef restoran yang pakar dalam masakan Nyonya.

“Cef kami berpengalaman dan pakar menghidangkan makanan tradisional masyarakat Nyonya, jadi pelanggan tidak salah memilih restoran ini,” katanya.

Menurut Rosni, selain asam pedas, Restoran Sambal Chilli turut menawarkan pelbagai menu masakan Nyonya. Antara yang menjadi kegemaran pelanggan ialah sambal petai udang.

Restoran Sambal Chilli turut memberi pilihan kepada ‘vegetarian’ dengan menawarkan pencuci mulut tradisional seperti cendol dan pisang goreng.

Hidangan lain ialah kari ayam hijau dan kari ayam Kapitan yang jarang dihidangkan di restoran lain.

Menu lain yang turut menarik perhatian penulis ialah ‘Flying Fish’ iaitu hidangan ikan siakap dengan sos istimewa ala Nyonya.

Yang menjadikan sos berkenaan istimewa dan berbeza ialah kerana ia mengandungi taucu dan sos plum.

Bagi melengkapkan pengalaman di restoran itu, tiga sambal istimewa disediakan iaitu sambal kicap hitam Nyonya, sambal olek dan sos plum.

Ruang dan suasana di Restoran Sambal Chilli juga selesa dan santai serta sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga.

Restoran itu turut menyediakan beberapa pilihan nasi lemak, antaranya nasi lemak ayam goreng berempah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 9:22 AM