MOHD Subri bersama Maimunah menunjukkan hidangan berharga RM3.99.
MOHD Subri bersama Maimunah menunjukkan hidangan berharga RM3.99.
Rizanizam Abdul Hamid

Petaling Jaya: “Tak apalah untung sikit pun, asalkan pelanggan puas hati dan dapat berjimat,” kata pemilik sebuah kedai makan yang menawarkan hidangan nasi berlauk termasuk minuman serendah RM2.99 dan RM3.99, Mohd Subri Abdul Wahab, 30.

Dia yang mengusahakan Summak Cafe bersama isterinya, Maimunah Abdul Rauf, 31, berkata, apa yang lebih penting adalah kepuasan pelanggan selain keuntungan semata-mata.

“Walaupun menu berharga RM3 atau RM4 ini cumalah sementara sehingga 7 Mei ini, kami sentiasa memastikan harga rendah kepada pelanggan kerana mementingkan keuntungan sedikit tetapi biarlah berkekalan.

“Tidak guna meletakkan harga tinggi untuk untung banyak tetapi perniagaan tidak kekal lama,” katanya ketika ditemui di premisnya itu di Jalan PJU1A/5A, Ara Damansara di sini baru-baru ini.

Malah menurut Mohd Subri, disebabkan mendapat permintaan yang tinggi, dia mengambil keputusan untuk melanjutkan harga promosi menu yang sepatutnya berakhir 30 April lalu sehingga 7 Mei ini.

Jelasnya, hidangan nasi berlauk berharga RM3.99 termasuk sambal, sayur, kuah kari dan minuman ialah Set Ayam Slambe Rock, Set Bawal Berapi, Nasi Ayam dan Laksa Penang manakala Set Keli Superb Rangup pula RM2.99.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:11 AM