FAIZAL (kanan) mahu pastikan skuad negara layak ke Brazil.
FAIZAL (kanan) mahu pastikan skuad negara layak ke Brazil.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Tekad saya mahu membanggakan keluarga dengan membantu Malaysia layak ke Olimpik, Insya-Allah”, kata penyerang paling berbakat skuad hoki negara Faizal Saari yang sudah bersedia merobek kubu lawan pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium bermula 20 Jun ini.

Selepas dihimpit pelbagai kontroversi sejak awal tahun ini, Faizal mengakui ahli keluargalah yang banyak membantu menaikkan semangat dan motivasi kepada dirinya dan berazam ingin membalas pengorbanan kedua ibu bapanya menerusi persembahan terbaik di Belgium nanti.

“Saya mahu buat keluarga bangga dengan diri ini kerana mereka sentiasa berada disamping saya apabila di timpa pelbagai masalah sebelum ini.

“Menerusi kata-kata semangat dan nasihat dari keluarga, saya ingin buktikan sesuatu kepada semua terutama keluarga dengan cuba bantu pasukan layak ke Olimpik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Faizal, 24, sebelum ini menggemparkan kem hoki negara apabila gagal menghadiri sesi latihan lebih kurang sebulan selepas memenangi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura, Januari lalu.

Difahamkan, kehilangan penyerang utama negara itu ekoran permasalahan dalaman membabitkan dirinya dengan pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berhubung faktor bonus yang gagal dilunaskan badan induk itu hingga menyebabkan Faizal bertindak sedemikian.

Akhirnya kemelut itu dapat diselesaikan selepas MHC berjaya menyelesaikan isu berkenaan dan Faizal kembali semula berlatih bersama skuad bimbingan Tai Beng Hai bermula Mac lalu.

Tambahnya lagi, inilah kesempatan terbaik buat The Speedy Tigers menamatkan kemarau layak ke pentas Sukan Olimpik selepas kali terakhir beraksi di Olimpik Sydney pada tahun 2000 lalu.

“Semua yang bergelar ahli sukan sudah semestinya mengimpikan untuk beraksi di Olimpik, begitu juga dengan saya. Sasaran peribadi saya mahu memastikan kita layak ke Brazil tahun depan dengan meraih kemenangan dalam setiap aksi.

“Difikiran saya cuma inginkan kemenangan tidak kisah siapapun menjaringkan gol asalkan kami menang,” katanya yang sudah menghimpun 144 caps bersama pasukan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:18 AM