PEMAIN skuad hoki kebangsaan gigih menjalani  latihan.
PEMAIN skuad hoki kebangsaan gigih menjalani latihan.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Menjelang aksi separuh akhir Liga Hoki Dunia di Belgium, 20 Jun ini, penolong jurulatih skuad hoki negara Nor Saiful Zaini Nasiruddin pantas mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengulangi kesilapan sebelum ini.

Nor Saiful merujuk kepada kegagalan skuad kebangsaan layak ke Olimpik 2012 selepas gagal di pusingan kelayakan di Dublin, Ireland.

“Sebab itu pengalaman barisan pemain sedia ada cukup penting. Berbeza di Dublin yang hanya menawarkan satu tiket ke Olimpik, peluang kita sepatutnya lebih cerah di Belgium.

“Dalam tempoh singkat, selepas saya diminta membantu Tai Beng Hai, tidak banyak yang boleh saya lakukan.

“Tapi yang saya tahu, kita mempunyai barisan pemain yang boleh bermain dengan baik.

“Cuma satu yang saya minta daripada barisan pemain iaitu kurangkan pergeseran atau masalah luar padang dan bersama membentuk pasukan mantap,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan perlantikan Beng Hai selaku ketua jurulatih tetap skuad negara manakala Nor Saiful bertindak selaku penolong.

Pengumuman Subahan itu sekali gus menyaksikan gandingan semula Beng Hai serta Nor Saiful selepas tugas terakhir mereka berdua tamat di Dublin pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 8:21 AM