Sepang: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sedia melakukan rombakan dalam pengurusan skuad kebangsaan selepas kajian terperinci dilakukan ke atas pencapaian skuad negara di saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium.

Timbalan Presiden MHC Dr S Shamala berkata, Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) selaku presiden pastinya akan melihat kepada perkara itu kerana skuad negara mempunyai misi penting untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Apa saja keputusan pasti Datuk Seri Subahan akan memanggil semua pihak untuk mendapatkan persetujuan dan melihat apakah langkah yang sepatutnya perlu diambil.

“Yang penting, langkah itu adalah bagi memastikan kita layak ke Sukan Olimpik 2020,” katanya ketika ditemui semalam selepas menyambut kepulangan skuad negara.

Sementara itu, Shamala menafikan khabar angin bahawa MHC sedang berusaha untuk mendapatkan jurulatih berkaliber Terry Walsh.

Nama bekas pengendali India itu mula menjadi sebutan selepas skuad negara gagal melayakkan diri secara automatik di Antwerp.

“Sebagai timbalan presiden, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara ini.

“Kami kena tunggu sehinggalah MHC bermesyuarat dalam masa terdekat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:32 AM