Kuala Lumpur: Bukan rezeki skuad hoki wanita negara.

Itu paling tepat menggambarkan situasi dihadapi skuad wanita yang mendapat tawaran beraksi di saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium pada saat akhir tetapi terpaksa menolak tawaran berikutan masa terhad.

Tawaran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) itu kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hadir pada pagi Jumaat lalu selepas Azerbaijan, pasukan yang sepatutnya beraksi di saingan yang menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Rio 2016 itu, gagal hadir.

Malaysia gagal layak secara merit selepas sekadar menduduki tempat ketiga pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia sebelum ini sekali gus diletakkan selaku pasukan simpanan.

Sebanyak lima pasukan termasuk Malaysia ditawarkan untuk mengantikan tempat Azerbaijan dan akhirnya, Perancis mengambil peluang itu.

Perancis tewas 0-11 pada perlawanan pertama bertemu Belanda kelmarin.

“Tawaran yang kami terima cukup singkat dan atas faktor itu, selepas berbincang dengan semua pihak, MHC terpaksa menolak tawaran FIH.

“Sudah tentu kami tidak sempat untuk sampai ke Belgium kerana hanya menerima tawaran pada jam 7 pagi Jumaat sedangkan perlawanan pertama pada Sabtu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MHC K Logan Raj ketika dihubungi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 6:24 AM