Machang: Kira-kira 250 penduduk, di sini, bakal menjadi pengguna terawal siaran televisyen digital MYTV yang dijangka beroperasi mulai 2018.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Che Azemi Haron, berkata syarikat MYTV Broadcasting Sdn Bhd sudahpun memasang peralatan diperlukan di Base Station RTMD Bukit Bakar dan sedang menjalankan ujian penerimaan siaran.

“Proses pelaksanaan uji kaji adalah untuk melaksanakan perubahan daripada sistem analog kepada sistem digital di seluruh Malaysia dengan peringkat pertama melibatkan kawasan pantai timur sebelum diperluas ke utara, pantai barat dan Lembah Klang.

“Dengan perpindahan sistem ini menunjukkan perubahan ketara terutama dari segi gambar yang lebih baik berbanding menggunakan sistem analog,” katanya selepas melawat Base Station RTMD Bukit Bakar, di sini.

MYTV yang menggunakan sistem digital akan membolehkan penonton menikmati gambar dan audio lebih berkualiti hasil pertukaran sistem analog sedia ada digunakan sekarang kepada perkhidmatan penyiaran ‘Digital Terrestrial Television Broadcasting’ (DTTB).

MYTV Broadcasting Sdn Bhd adalah syarikat berteknologi tinggi bawah firma telekomunikasi Kumpulan Altel Holdings kini bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi menyediakan infrastruktur dan kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan DTTB di Malaysia, menjadikannya infrastruktur DTTB pertama di negara ini.

Fasa pertama DTTB dijangka bermula di Kelantan, Terengganu dan Pahang meliputi 85 peratus populasi, sementara fasa kedua menyasarkan 98 peratus populasi di seluruh negara. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 10:01 PM