Najib bersama Salleh (dua kanan) dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kanan) melihat alat kawalan jauh televisyen pada pelancaran myFreeview. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Najib bersama Salleh (dua kanan) dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kanan) melihat alat kawalan jauh televisyen pada pelancaran myFreeview. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Mohd Nasif Badruddin dan Hafiz Ithnin


KERAJAAN bakal mengagihkan dekoder MYTV yang bercirikan televisyen terestrial digital (DTT) atau dikenali sebagai myFreeview kepada 2.2 juta isi rumah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pemberian secara berperingkat itu akan diagihkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Ia adalah penambahan daripada dua juta dekoder yang diberikan MYTV Broadcasting Sdn Bhd sekali gus menjadikan 4.2 juta isi rumah mendapat dekoder," katanya ketika berucap melancarkan Penyiaran Digital MyFreeview di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Datuk Ser Dr Halim Shafie.

myFreeView diwujudkan hasil pemindahan sistem analog ke siaran digital sepenuhnya yang memberi peluang kepada penonton menikmati resolusi gambar lebih baik dan jelas.

Pertukaran kepada TV digital itu adalah perubahan terbesar dalam sejarah penyiaran sejak televisyen berwarna diperkenalkan 39 tahun lalu dan ia juga selari dengan perkembangan global beralih kepada sistem analog dan era digital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 8:37 PM