Penonton dapat menikmati siaran digital myFreeview dengan kualiti gambar dan bunyi yang lebih baik, lebih banyak saluran percuma dan pengalaman menonton TV berkualiti HD.
Penonton dapat menikmati siaran digital myFreeview dengan kualiti gambar dan bunyi yang lebih baik, lebih banyak saluran percuma dan pengalaman menonton TV berkualiti HD.
HM Digital

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenalkan Projek Television Terrestrial Digital (TTD) bagi menyediakan khidmat penyiaran TV dan radio terbaik untuk rakyat.

Menerusi Projek TTD ini, penonton dapat menikmati siaran digital myFreeview dengan kualiti gambar dan bunyi yang lebih baik, lebih banyak saluran percuma, akses kepada Panduan Program Elektronik (EPG – Electronic Program Gudie), sarikata pelbagai bahasa dan memberikan pengalaman menonton TV berkualiti HD.

Lebih menarik, myFreeview menawarkan semua siaran TV dan radio sedia ada secara percuma tanpa sebarang yuran langganan selain penonton dapat melayari Internet melalui skrin TV jika memiliki sambungan Internet di rumah.

Untuk menikmati siaran digital ini, penonton perlu mendapatkan alat penerima atau dekoder MYTV jenis DVB-T2 yang boleh didapati di kedai elektronik seluruh Malaysia sejak Mei lalu. Selain itu, aerial UHF perlu dipasang dan disambung kepada terminal aerial dekoder.

Bagi yang tinggal di kondominium mahupun pangsapuri, perkhidmatan ini boleh diterima asalkan TV disambungkan kepada dekoder MYTV dan aerial dalam ataupun UHF.

Walaupun myFreeview lebih sesuai ditonton menerusi set TV baru yang dilengkapi dengan alat penerima myFreeview atau lebih dikenali sebagai Integrated Digital Television (IDTV), bagaimanapun penonton yang memiliki set TV lama tidak perlu bertukar kepada set TV baru asalkan set TV lama mempunyai sambungan AV/HDMI yang boleh disambungkan kepada dekoder MYTV.

myFreeview menawarkan semua saluran TV terrestrial percuma sedia ada iaitu TV1, TV2, TVi, TV3, ntv7, 8TV, TV9, TV Al Hijrah dan Bernama News Channel dalam kualiti digital. Pada masa akan datang, lebih banyak saluran TV serta perkhidmatan interaktif akan diperkenalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 7:06 PM