GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) menggantung penyiaran saluran TV Awesome Broadcasting Sdn Bhd (Awesome TV) di platformnya berkuat kuasa 2 Nov ini.

MYTV dalam kenyataan hari ini memaklumkan penggantungan saluran televisyen swasta itu dibuat berikutan isu komersial melibatkan pembayaran fi akses antara kedua-dua pihak walaupun pelbagai jalan penyelesaian telah cuba diambil.

"Penggantungan saluran Awesome TV ini adalah amat dikesali dan MYTV memohon maaf kepada penonton atas sebarang kesulitan disebabkan perkara tersebut.

"MYTV menghargai segala sokongan dan kerjasama daripada para penonton dan akan terus meningkatkan usaha dalam mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan semua pihak," menurut kenyataan itu.

Awesome TV mula bersiaran secara rasmi pada 1 Ogos 2020 dengan menawarkan kandungan tempatan dan antarabangsa.

Bagaimanapun, Awesome TV masih boleh diikuti di saluran Astro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 11:33 PM