KEMUDAHAN kolam mandi di Felda Residence Tanjung Leman.
KEMUDAHAN kolam mandi di Felda Residence Tanjung Leman.
REMAJA mencuba aktiviti mendaki tembok di Felda Residence Tanjung Leman.
REMAJA mencuba aktiviti mendaki tembok di Felda Residence Tanjung Leman.
AKTIVITI snorkeling menarik minat pelancong.
AKTIVITI snorkeling menarik minat pelancong.

Tanjung Leman, kira-kira 72 kilometer di selatan Mersing dan ia hentian utama bagi pelancong yang mahu ke Pulau Tinggi, Pulau Sibu dan Sibu Besar.

Pantai Tanjung Leman memang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan mereka yang mahu berkelah serta berkhemah terutama di hujung minggu.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung. Malah, perairannya menjadi tumpuan untuk aktiviti snorkeling dan melihat terumbu karang.

Perjalanan dengan berkereta dari Johor Bahru mengambil masa dua jam manakala dari Kuala Lumpur mengambil masa lima jam.

Jika anda memerlukan penginapan, Felda Residence Tanjung Leman adalah resort yang sesuai untuk didiami.

Felda Residence Tanjung Leman yang beroperasi sejak 2011 terletak di kawasan Gugusan Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.

Resort ini berhampiran Pulau Sibu, Sibu Besar dan Pulau Tinggi yang mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan dengan menaiki bot.

Lokasinya di tepi pantai yang tenang dan nyaman serta kehijauan alam semula jadi, menjadikan ia fenomena alam mempesonakan mata memandang.

Resort itu menawarkan bilik penginapan yang berkonsepkan kontemporari dengan satu suite eksekutif, tujuh suite, lapan deluxe, 75 superior dan empat dormitori dengan 320 katil.

Resort itu turut menyediakan kemudahan lain seperti dewan seminar, restoran, gimnasium, surau, kolam renang dan karaoke.

Jika bosan seharian berkurung di bilik, anda boleh melakukan aktiviti pantai seperti menaiki bot ke pulau berhampiran, sama ada snorkeling, memancing, bina semangat ataupun bola sepak pantai.

Pakej melancong ke pulau berhampiran amat popular dalam kalangan pelancong.

Bagi pakej ke Pulau Sibu, misalnya menawarkan harga RM330 seorang termasuk penginapan semalam di Sibu Island Resort, makan dan minum serta perkhidmatan feri.

Resort ini menjanjikan kelainan kepada pengunjung dengan makanan yang enak, dewan yang selesa dan layanan mesra, menjanjikan kepuasan berganda.

Pakej untuk pelajar khususnya pada musim cuti persekolahan iaitu Student Camp dan Pakej Pelajar menjadi pilihan ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 1:06 PM