PETUGAS membawa mayat mangsa. FOTO Reuters
PETUGAS membawa mayat mangsa. FOTO Reuters
AFP

Washington: Seorang pelancong wanita Amerika Syarikat (AS) yang melawat Bahamas maut dibaham jerung pada Isnin, menurut polis di negara Caribbean itu.

Wanita berusia 44 tahun yang tidak disebutkan namanya itu berasal dari Boston. Ketika kejadian, dia melakukan aktiviti paddle-boarding berhampiran sebuah resort di pulau New Providence, yang juga menempatkan ibu kota Nassau.

Seorang penyelamat membawa wanita dan saudara lelaki yang bersama-samanya ke pantai dan memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa, menurut siaran berita dari Pasukan Polis Diraja Bahamas.

"Mangsa mengalami trauma yang ketara di bahagian kanan badannya," kata kenyataan itu, dan dia disahkan meninggal dunia oleh pihak kecemasan.

Resort itu tidak dinamakan oleh polis.

Siasatan juga dilancarkan.

Bahamas, sebuah kepulauan dengan lebih daripada 3,000 pulau, menempatkan beberapa pusat peranginan pantai, dan menganggap pelancongan sebagai sebahagian besar ekonominya.

Bahamas merekodkan 33 serangan jerung tanpa provokasi sejak 1580, menurut pangkalan data.

Pada 2019, seorang ibu dari AS yang melawat negara itu dibaham jerung ketika melakukan aktiviti snorkeling bersama keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 9:43 AM