PELBAGAI jenis baka kucing begitu disiplin, sudah dilatih mengikuti ‘tuan’ masing-masing berlari.
PELBAGAI jenis baka kucing begitu disiplin, sudah dilatih mengikuti ‘tuan’ masing-masing berlari.
Nurul Husna Mahmud


Penganjuran aktiviti larian sebagai salah satu pendekatan untuk mendekati mungkin kedengaran biasa, tetapi bagaimana pula apabila penganjuran itu disertai si bulus?

Itu kelainan dalam penganjuran acara larian Meaoow Fun Run oleh IKIMfm yang meraikan peminat dan pencinta kucing menerusi aktiviti riadah terbabit.

Menurut pengarah pengurusan acara itu, Mahmud Fahrurrazi Abd Hadi, acara larian yang pada mulanya bertujuan mahu mengimarahkan masjid menerusi aktiviti larian itu tampil julung kali tema larian bersama kucing.

Kata Mahmud Fahrurrazi, penganjuran aktiviti larian dengan kucing itu mendapat 'reaksi' sangat positif daripada masyarakat baik pemilik atau peminat kucing.

"Pengalaman kami dari segi penganjuran acara larian, sebenarnya kami sudah mengadakan 12 acara larian dengan menjadikan masjid sebagai tuan rumah atau lokasi penganjuran.

"Kami mahu masjid dilihat sebagai subjek untuk menyatukan masyarakat berbilang bangsa dan kaum.

"Cuma untuk tema larian bersama kucing adalah pertama kali dan kami didatangi pelbagai golongan sama ada pemilik, peminat dan pencinta kucing yang teruja dengan larian itu," katanya.

Dalam larian Meaoow Fun Run di Masjid Bandar Bukit Raja, Klang Selangor itu, pihaknya mendapat penyertaan kira-kira 400 peserta termasuk 40 pemilik kucing yang membawa haiwan kesayangan masing-masing.

"Dalam acara larian Ahad lalu, kami juga ada sedikit rasa bimbang maklumlah peserta kali ini istimewa iaitu 40 kucing yang tampil bersama pemilik masing-masing.

"Kita sedia maklum kucing iaitu haiwan ada tabiat dan kerenah luar jangka dan untuk pihak masjid juga ada kebimbangan yang sama.

ACARA yang menarik perhatian ramai pencinta kucing.
ACARA yang menarik perhatian ramai pencinta kucing.

ANTARA peserta yang memeriahkan larian bersama kucing.
ANTARA peserta yang memeriahkan larian bersama kucing.

KELETAH kucing yang tidak takut dikerumuni peserta larian.
KELETAH kucing yang tidak takut dikerumuni peserta larian.

"Namun, pada hari acara larian, saya lihat pemilik kucing cukup cekap mengawal kucing masing-masing dan kucing yang ada juga sangat berkelakuan baik.

"Kucing peliharaan masing-masing juga sangat 'mesra' dengan peserta lain dan tidak stres sepanjang larian," katanya.

Beliau berkongsi rasa kagum apabila melihat pelbagai jenis baka kucing yang ada begitu disiplin dan sudah dilatih mengikuti 'tuan' masing-masing berlari.

"Menerusi acara ini juga saya dan kru mempelajari ada pelbagai cara pemilik atau pencinta mengurus haiwan masing-masing supaya dapat berlari bersama.

"Pada masa sama peserta larian juga dapat melihat secara dekat dan memahami pelbagai baka yang ada dipelihara peminat dan pencinta kucing tempatan," katanya.

Acara larian itu menampilkan dua kategori iaitu lima kilometer (km) dan 10km disertai pelbagai peringkat usia seawal tiga tahun sehingga 65 tahun.

Sementara itu, mengenai perancangan akan datang, kata Mahmud Fahrurrazi, pihaknya merancang menganjurkan program jelajah serata Malaysia untuk larian bersama kucing kerana mendapat permintaan dalam kalangan anggota masyarakat.

"Aura pencinta atau peminat kucing ini sangat luar biasa apabila selesai sahaja acara larian itu, kami mendapat permintaan untuk diadakan acara itu di Johor dan Perlis.

"Insya-Allah kami merancang adakan acara itu secara jelajah supaya lebih banyak masjid dan masyarakat dapat manfaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 6:49 AM