DJOKOVIC meraikan kejayaannya menewaskan Herbert. FOTO REUTERS
DJOKOVIC meraikan kejayaannya menewaskan Herbert. FOTO REUTERS
AFP

Paris: Juara bertahan, Novak Djokovic mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis untuk kali ke-20, awal pagi tadi, namun menegaskan dia tidak mahu terlalu teruja selepas mengalami penurunan prestasi dan pencapaian yang membimbangkan musim ini.

Djokovic, yang memburu gelaran keempat di Roland Garros dan kemenangan Grand Slam ke-25, berjaya mengatasi lawannya dari Perancis yang menduduki ranking ke-142, Pierre-Hugues Herbert dengan keputusan 6-4, 7-6 (7/3), 6-4.

Namun, tanpa sebarang gelaran atau beraksi di perlawanan akhir musim ini buat kali pertama sejak 2018, Djokovic tidak mahu terlalu memandang jauh ke hadapan.

"Di Monte-Carlo (tewas pada separuh akhir), Rom (kalah pada pusingan ketiga) dan Geneva (tewas pada separuh akhir), saya memulakan kejohanan dengan sangat baik. Perlawanan pertama saya hebat.

"Tetapi apabila beraksi di pusingan kedua atau ketiga, ia adalah sesuatu yang berbeza... Jadi saya tidak mahu terlalu teruja," katanya.

Djokovic yang menyaksikan seteru utamanya dan juara Terbuka Perancis 14 kali, Rafael Nadal sudah tersingkir daripada kejohanan itu, tiba di Paris dengan prestasi kurang memberangsangkan.

Aksi terbaiknya ialah ke separuh akhir Terbuka Australia, di mana dia kehilangan gelarannya kepada Jannik Sinner selain turut kandas di peringkat sama dekat Monte Carlo dan Geneva.

Djokovic, yang mara ke suku akhir Terbuka Perancis atau lebih baik setiap tahun sejak 2010, akan menentang pemain Sepanyol, Roberto Carballes Baena pada aksi seterusnya esok.

"Saya gembira dengan cara berfikir di gelanggang, ia adalah sesuatu yang saya cari selama ini," tambah Djokovic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 7:44 AM