Georgie Joseph


KERAP bergandingan lagu duet dengan Wany Hasrita sebelum ini, penyanyi Tajul mencuba pula berduet dengan Muna Shahirah menerusi lagu baharu berjudul Resipi Berkasih.

Ternyata Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md. Shari, 34, mendapat keserasian yang memuaskan meskipun pertama kali bergandingan dengan Muna. Justeru dia gembira dengan keputusan labelnya, FMC Music.

Katanya, dia seronok dengan hasil gandingan itu kerana Muna juga bukan penyanyi calang-calang. Tajul akui gandingannya itu memiliki kekuatan tersendiri bagi menghidupkan lagi lagu terbabit.

"Muna berjaya membuat Resipi Berkasih versi baharu ini lebih 'wow'. Muna bukan sahaja memberi kerjasama yang baik pada saya, malah Muna mempunyai vokal yang tidak dapat dipertikaikan lagi.

"Saya berterima kasih kepada FMC Music kerana mencadangkan supaya Muna menggantikan Wany. Walaupun ini adalah gandingan pertama kami, tetapi saya tak sangka ia berjalan lancar dan sangat mudah," katanya.

Pada asalnya, Resipi Berkasih sepatutnya dinyanyikan Tajul dan Wany. Lagu dedikasi khas buat Allahyarham Achik Spin itu baginya cukup istimewa dan perlu diberi keadilan.

Memandangkan sudah terlalu serasi dengan Wany dan terbukti beberapa lagu duet mereka sangat berjaya, dia akur kali ini tidak dapat bergandingan bersama.

"Saya akur dan menghormati keputusan Wany jika dia tidak mahu lagi berduet dengan saya. Memang ada sedikit terkilan sebab bagi saya gandingan kami serasi dan peminat suka jika kami duet bersama.

"Namun, saya perlu memahami situasi Wany sekarang yang sudah berumah tangga. Mungkin keadaan sekarang membuatkan dia tidak selesa berduet dengan saya," katanya.

TAJUL bersyukur dapat keserasian terbaik dengan Muna menerusi lagu Resipi Berkasih.
TAJUL bersyukur dapat keserasian terbaik dengan Muna menerusi lagu Resipi Berkasih.

Apa pun, tidak berduet dalam lagu bukan bermakna hubungan persahabatan Tajul dan Wany terputus. Tetapi, mereka lebih memilih untuk fokus pada rumah tangga, anak-anak dan kerjaya masing masing.

"Mungkin ada baiknya kami tidak berduet kembali. Kerana selepas masing-masing berumah tangga dan punya anak, lebih banyak hati yang perlu kami jaga.

"Harap peminat dapat memahami dan terus menyokong kerjaya dan lagu kami," katanya.

Dalam pada itu, Muna atau nama sebenarnya Muna Shahirah Munadi, 30, cukup berbesar hati mendapat penghormatan menjayakan projek duet istimewa berkenaan. Ia memberikan pengalaman baharu buatnya.

Muna yang sebelum ini pernah digandingkan duet bersama Afieq Shazwan dan Zack Zakwan berkata, tidak menjadi masalah padanya untuk bekerjasama dengan sesiapa pun asalkan lagu itu bersesuaian dengan vokalnya.

"Saya sedikit pun tidak berkecil hati apabila saya dijadikan pilihan kedua untuk lagu ini. Kerana saya sedia maklum sebelum ini gandingan duet Tajul dengan Wany sangat berjaya.

"Namun, saya lebih melihat peluang yang saya dapat ini ke arah positif. Sebab saya yakin setiap aturan Allah tetapkan itu tak pernah silap dan pasti lebih baik. Malah saya rasa bangga dapat terbabit dalam projek khas ini," katanya.

Muzik video dan lagu Resipi Berkasih versi 2024 duet Tajul dan Muna Shahirah dilancarkan di Youtube FMC Music dan di semua platform digital sejak 9 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 6:30 AM