DALAM akademi yang mempunyai pusat sumber.
DALAM akademi yang mempunyai pusat sumber.
Hafiz Ithnin


"MESKIPUN suami sudah tiada (meninggal dunia), tetapi semangat dia masih ada bersama saya untuk meneruskan perjuangan warisan Melayu. Saya merasa ini adalah tanggungjawab untuk saya teruskan apa yang arwah perjuangkan sehingga akhir hayatnya," kata wanita berusia 64 tahun ini kepada penulis.

Balu kepada Allahyarham Nik Rashiddin Nik Hussein itu mempunyai semangat luar biasa ketika berbicara mengenai perjuangan legasi yang ditinggalkan kepadanya.

Rosnawati Othman sebenarnya mempunyai latar belakang pendidikan yang cukup tinggi kerana memiliki Ijazah Seni Bina dari Universiti Newcastle di Australia sebelum menjadi pensyarah dalam lapangan itu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor selama 10 tahun.

Sebaik sahaja bertaut kasih dan mendirikan rumah tangga dengan Nik Rashiddin pada 1990, dia berhijrah ke Kelantan, setia mengikuti suaminya dan menjadi suri rumah. Pada masa sama, dia juga menjadi pensyarah sambilan di beberapa universiti dan kolej di sekitar Kelantan.

Sepanjang 12 tahun bergelar isteri Nik Rashiddin, ibu empat cahaya mata itu menjadi pemerhati dan pendengar yang cukup hebat tatkala ramai tetamu dari pelbagai latar belakang yang berjumpa suaminya untuk mengetahui mengenai warisan Melayu terutama dalam ukiran kayu dari Kepulauan Nusantara.

Katanya, suaminya tidak mempunyai pendidikan formal yang tinggi, tetapi ilmu dikutip hasil merantau ke pelbagai negara di Nusantara dan kemampuannya mengukir tidak boleh disangkal sehinggakan Adiguru Kraf Ukiran Halus, Norhaiza Noodin juga adalah anak didik suaminya.

"Ketika saya berkahwin dengan suami, kami saling melengkapi kerana saya mempunyai ilmu dalam seni bina dan dia pula mempunyai pengalaman serta ilmu warisan ukiran yang cukup hebat. Jadi, minat saya dalam seni bina Melayu ini banyak dipengaruhi oleh arwah.

"Arwah seorang yang cukup santai ketika berbicara mengenai seni ukirannya ketika ditanya tetamu di rumah kami. Jadi, penceritaan itu setiap hari didengar sehingga melekat di minda dan saya dapat memahami dan menceritakan semula kepada orang lain apabila dia sudah tiada," katanya yang juga penerima Tokoh Sayyidatina Al-Khansa' Amru (Kesenian) pada 2023.

Hasil minat sama dalam seni dan warisan Melayu, pasangan itu membeli sebuah rumah berusia 200 tahun yang dipasang semula di Bachok, Kelantan pada 1997.

Katanya, kepakaran suaminya adalah menghasilkan keris tajong iaitu keris yang memerlukan kepakaran ukiran yang cukup halus untuk menghasilkannya.

"Ketika arwah masih ada, dia merantau ke pelbagai negara di Nusantara dan membawa pulang pelbagai barangan seperti alatan mengukir tradisional dan pelbagai artifak asli.

"Jadi, hasil daripada koleksi peribadinya ketika dia masih ada kami mendapat tawaran mengadakan pameran bergerak bukan sahaja di Malaysia, malah sehingga Singapura dan London. Namun, dia hanya sempat mengikuti pameran pertama sebelum meninggal pada 2002. Kemudian saya meneruskan pameran artifak yang dimiliki suami sehingga 2005," katanya.

Katanya, selepas pemergian Nik Rashiddin, dia bersama ahli keluarga dan anak didiknya serta penaja dana sepakat menjadikan rumah berusia 200 tahun yang dimiliki mereka sebagai pusat pameran dan penyelidikan warisan Melayu yang diberi nama sebagai Akademi Nik Rashiddin.

"Jadi, apabila tertubuhnya akademi ini memberi kemudahan kepada orang ramai sama ada peminat warisan Melayu atau penyelidik datang ke sini untuk melihat sendiri artifak yang dimiliki arwah.

"Saya sebagai salah seorang pihak pengurusan akademi ini biasanya menjadi kurator kepada tetamu. Jadi, dalam rumah ini ada pelbagai warisan Melayu yang bukan sahaja membabitkan seni ukiran, tetapi inklusif seperti pakaian, adat dan makanan. Perkara ini kerana apabila kita bercakap mengenai warisan ia berkait antara satu sama lain," katanya.

Katanya, dia seronok dapat meneruskan hajat yang diinginkan suami sebelum meninggal dunia iaitu ingin memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai unik dan kayanya warisan Melayu.

"Perkara itu yang dihajatkan arwah dan saya tidak merasa ia satu bebanan, tetapi tanggungjawab bersama. Kami ingin orang ramai dan generasi akan datang menghargai warisan Melayu asli yang ada dalam Malaysia.

"Kita boleh lihat orang asing apabila mereka datang ke negara ini, mereka membawa pulang warisan asli di negara ini kerana mereka tahu mahalnya nilai itu pada masa depan. Jadi, saya dan arwah ingin generasi pada hari ini sedar mengenai nilai tinggi warisan yang kita miliki," katanya.

Katanya, selepas menjadi akademi, dia dan beberapa insan penting lain menjadikan pula Akademi Nik Rashiddin sebagai pusat sehenti bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri barangan kehidupan harian warisan orang Melayu dari kecil sehingga dewasa.

"Di sini juga ada buku ilmiah yang boleh dijadikan rujukan akademik kepada orang yang ingin membuat penyelidikan, pelancong yang ingin melihat keindahan warisan yang kita miliki dan perjuangan arwah suami saya," katanya.

Katanya, ketika ini meskipun empat cahaya matanya tidak terbabit secara langsung dalam pengurusan akademi berkenaan, tetapi mereka semua mempunyai minat dalam melindungi artifak berharga yang ditinggalkan bapa mereka.

"Saya berharap suatu hari nanti ada pewaris yang mampu mempertahankan perjuangan kami ini," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 7:00 AM