ALYPH selesa bergerak solo.
ALYPH selesa bergerak solo.
Zaara Talita


SELEPAS mencetus fenomena menerusi lagu Swipe, Alyph tampil mempertaruhkan single terbaharu berjudul Dari Jauh yang mendapat sentuhan komposer Indonesia.

Selain Alyph, penulis lagu untuk Dari Jauh ini adalah hasil tangan pemuzik dari Indonesia iaitu Teddy Adhitya dan penambaihbaikan pada kord lagu dengan penuh dibuat oleh Kenny Gabriel selaku penerbit.

Kata Alyph lagi, dia ingin menekankan rona muzik R&B dengan menghidupkan kord muzik yang penuh jiwa sekali gus menyedapkan sesuatu karya untuk didengar.

Terus mengukuhkan nama dalam dunia seni, rapper asal Singapura itu bakal merekodkan pencapaian tersendiri menerusi album sulungnya yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Pemilik nama sebenar Alif Abdullah itu memaklumkan album berkenaan yang memuatkan lebih 10 lagu sudah pun disiapkan dan menunggu tempoh sesuai untuk dipasarkan.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19, saya banyak terkurung dalam studio dan masa itu saya menyedari perlu fokus untuk menghasilkan album sendiri.

"Bukan apa, apabila ada permintaan lagu saya berikan dan koleksi yang saya simpan untuk diri sendiri berada dalam simpanan saja. Jadi, kini saya meletakkan target untuk melunaskan album yang sudah lama tertangguh.

"Bayangkan sudah sekian lama, akhirnya baru saya hendak tampil dengan album. Ini kerana sebelum ini saya sering muncul dengan single saja," katanya.

Alyph mencetus fenomena muzik dunia berkat korus yang mudah diingati dan kerjasama dengan usahawan kosmetik Datuk Seri Vida, single Swipe mencuri perhatian di seluruh Asia Tenggara.

BAKAL muncul dengan album penuh.
BAKAL muncul dengan album penuh.

Malah dengan lebih 10 juta aliran di kedua-dua medium Spotify dan YouTube. Karya ini juga ditampilkan sebagai bunyi latar dalam lebih 1.6 juta hantaran TikTok yang dicipta oleh peminat di seluruh dunia.

Melihat bidang seni sebagai kerjaya dan sumber pendapatan, Alyph mengakui ralat apabila lagu ciptaannya hanya tular sebahagian korus.

"Saya tidak pernah memberi tekanan pada diri sendiri sebelum menghasilkan sesuatu lagu, fenomena atau tidak semuanya saya serahkan kepada rezeki saja.

"Tidak dinafikan, saya akur dunia ketika ini bergerak sejajar arus teknologi, semuanya berhubung kait dengan media sosial. Namun, hampa juga apabila 'crowd' hanya menyanyikan bahagian korus lagu.

"Bukan apa, secara peribadi saya melihat situasi berkenaan sebagai mengecewakan kerana saya tidak dianggap sebagai penyanyi yang 'serius'," kata Alyph.

Dalam pada itu, Alyph mengaku bukan mudah mengikis nama Sleeq iaitu gabungan duo yang memperkenalkan dirinya ke pentas muzik daripada identiti sekarang.

Lantaran itu, Alyph yang kini bergerak solo, tidak terfikir bergabung semula dengan sepupunya, Syarif dan menghidupkan kembali zaman gemilang Sleeq, biarpun peminat meminta mereka aktif semula.

"Memang ada peminat minta kami bergabung kerana rindukan Sleeq. Bagi saya, kalau mereka rindukan Sleeq, dengar sahaja lagu kami.

"Kami masih berkomunikasi kerana Syarif dan saya adalah sepupu.

"Kalau bergaduh pun bermaafan masa raya, cuma tiada sebarang perancangan menghidupkan semula Sleeq. Malah, saya kini selesa dengan kerjaya solo saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 6:30 AM