KOLAM air panas di Suria Hot Spring Resort Bentong mengandungi sulfur yang disalurkan dari mata air panas ke kolam dan tab berjubin.
KOLAM air panas di Suria Hot Spring Resort Bentong mengandungi sulfur yang disalurkan dari mata air panas ke kolam dan tab berjubin.

Suria Hot Spring Resort Bentong, kolam air panas di Bentong, Pahang dikelilingi hutan hujan Khatulistiwa yang menghijau dengan persekitaran alam semula jadi yang mendamaikan.

Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa sejam 30 minit melalui Lebuhraya Karak dan sepanjang pemanduan, anda akan menikmati keindahan panorama alam mempesonakan.

Hutan menghijau itu menawarkan pelbagai tarikan botani seperti tumbuhan herba, buah-buahan, pokok renek dan tumbuhan berbunga menarik selain pelbagai jenis burung, kelawar dan serangga.

Kolam air panas itu membolehkan pengunjung menikmati kesegaran air dalam kolam renang dan berendam dalam air bersulfur yang disalurkan dari mata air panas ke kolam dan tab berjubin.

Suhu air dalam lingku­ngan 45 sehingga 50 darjah Celsius membantu melegakan sengal-sengal otot serta merehatkan kelesuan badan.

Air yang mengalir dari mata air panas mempunyai beberapa kesan pemulihan terapeutik malah sejak zaman purba, mata air panas membantu menyembuh­kan pelbagai jenis penyakit selain melancarkan perjalanan darah.

Ada beberapa kolam semula jadi yang boleh pilih dan jika mahukan kemudahan secara privasi, anda boleh membuat tempahan bilik jenis Jacuzzi Villa kerana boleh berendam tanpa gangguan sesiapa.

Resort itu turut menampilkan konsep bersih, moden, selesa dan berbaloi dengan wang anda selain bebas daripada penjualan minuman keras, hiburan melampau serta menepati kehendak syariah.

Suria Hot Spring Resort Bentong yang bertaraf tiga bintang mempunyai 80 bilik yang terdiri dari 39 unit Deluxe Triple, 20 unit Deluxe Quad dan 20 unit Jacuzzi Villa. Resort itu menawarkan satu bilik kepada penghuni kurang upaya.

Harga bilik yang bermula serendah RM230 termasuk sarapan untuk tiga orang ditawarkan untuk bilik Deluxe Triple, manakala untuk bilik Deluxe Quad harga serendah RM280 termasuk sarapan untuk empat orang.

Bagi bilik Jacuzzi Villa, harga serendah RM580 termasuk sarapan untuk empat orang.

Antara kemudahan yang disediakan ialah TV LED 32 inci dengan saluran IPTV terpilih, penghawa dingin, peralatan peribadi mandian, kemudahan membancuh air, pancuran air panas, internet dan peti sejuk mini.

Suria Hot Spring Resort Bentong mempunyai tiga unit dewan seminar yang lengkap dengan pentas dan fasiliti bagi tujuan mesyuarat dan bengkel.

Bagi tetamu yang ingin menjamu selera, anda boleh berkunjung ke Restoran Bunga Padi yang menghidangkan menu tempatan dan Barat yang boleh menampung 120 orang dalam satu masa.

Resort ini turut menyediakan pakej mesyuarat untuk sektor kerajaan dan korporat, pakej hari keluarga, majlis makan malam dan pakej perkahwinan dengan harga berpatutan.

Pakej harga seminar kerajaan bermula dari RM140 seorang dan pakej seminar korporat bermula dari RM200 seorang untuk bilik berdua. Harga pakej hari keluarga bermula dari RM185 seorang untuk semalam penginapan dan RM345 seorang untuk dua malam berdasarkan bilik berdua.

Untuk pakej makan malam dan perkahwinan, harga bermula dari RM30 seorang lengkap dengan sistem audio visual.

Suria Hot Spring Resort Bentong juga menyediakan pakej berbuka puasa sepanjang Ramadan dengan harga serendah RM45 bagi dewasa dan RM38 bagi kanak-kanak. Antara juadah disediakan ialah nasi mi­nyak, nasi hujan panas, nasi tomato, ikan bakar, kambing golek, sup utara, mi bandung dan pelbagai jenis kuih-muih.

Anda juga boleh me­ngunjungi beberapa tempat menarik di sekitar Suria Hot Spring Resort Bentong, antaranya Genting Highland, Bukit Tinggi, Taman Hutan Rekreasi Lentang, Air Terjun Ulu Tampit, Air Terjun Chamang, Taman Rusa dan Pusat Konservasi Kuala Gandah Lanchang.

Aktiviti lain yang ditawarkan ialah ‘team building’, sukan polo air, ‘jungle trekking’, mencari harta karun dan catur.

Hubungi talian 03-78064752, 09-2210200, 1 800 88 SURIA(78742), laman web: www.suriaresorts.com, e-mel: [email protected] untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:34 AM