IKAN Oscar mudah dijaga sekiranya peka dengan keperluan hidupnya.
IKAN Oscar mudah dijaga sekiranya peka dengan keperluan hidupnya.
Hafiz Ithnin


Ikan perhiasan, Oscar antara yang menjadi pilihan ramai peminat ikan hiasan di Malaysia. Ia juga mudah didapati di pasaran yang menjual pelbagai haiwan kesayangan.

Menurut portal haiwan peliharaan, thesprucepet, selain dikenali sebagai Oscar, ikan peliharaan itu juga dipanggil Tiger Oscar, Marble Chihlid atau Velvet Chiclid.

Nama saintifiknya, Astronotus ocellatus dan ia adalah ikan air tawar dari Amerika Selatan yang mempunyai sosial separa agresif menjadikannya pilihan ramai peminat ikan hiasan.

Haiwan itu juga mempunyai jangka hayat 10 hingga 15 tahun dan apabila membesar ia mampu mempunyai saiz 12 hingga 14 inci. Selain itu, ikan ini juga adalah karnivor.

Bagi peminat ikan Oscar tempatan, Nadzrin Zarifuddin, dia meminati ikan berkenaan kerana jinak dan mengenali pemilik meskipun jenis pemangsa.

Katanya, ikan Oscar akan agresif melihat pemilik memberi makanan kepadanya. Malah, meskipun dari luar akuarium, ikan itu mula memberi respons apabila melihat ada pergerakan berhampiran dan mengekorinya.

"Saya mula membeli ikan Oscar pada 2019 pada harga di bawah RM20 seekor. Ketika itu saya membeli hanya empat anak yang bersaiz tiga inci. Setiap satu mempunyai ciri-ciri berbeza iaitu Tiger Oscar, Red Oscar dan Albino.

"Namun, yang mampu bertahan hanya tiga ekor sehingga kini yang saiznya sudah pun sekitar lapan hingga sembilan inci. Ikan ini juga mudah dijaga apabila kita sudah biasa dengannya," katanya.

Nadzrin berkata, dari segi penjagaan perkara yang paling penting ialah menjaga kualiti air dalam akuarium supaya ia berada dalam keadaan yang sesuai bagi kehidupan haiwan itu.

"Ikan ini memerlukan keasidan atau kealkalian (pH), antara enam hingga tujuh dan paras ammonia di dalamnya perlu dipastikan pada tahap sifar. Justeru, kita memerlukan penggunaan penapis atau pam akuarium yang sesuai dengannya.

TIGER Oscar antara mudah ditemui.
TIGER Oscar antara mudah ditemui.

NAZDRIN meminati ikan Oscar sejak 2019.
NAZDRIN meminati ikan Oscar sejak 2019.

AKTIVITI menukar air perlu dilakukan dengan cara betul.
AKTIVITI menukar air perlu dilakukan dengan cara betul.

"Apabila kita menggunakan pam yang baik, aktiviti menukar air dalam akuarium juga tidak perlu dilakukan dengan kerap. Seperti saya, hanya perlu menukar enam bulan sekali.

"Selain itu, kita juga perlu pastikan saiz akuarium yang menempatkan ikan ini sesuai dengan saiznya kerana ia mempengaruhi tumbesarannya kelak. Misalnya, untuk ikan Oscar bersaiz dewasa kita perlukan akuarium bersaiz 48 inci lebar dan tinggi 18 inci," katanya.

Tambahnya, dari segi diet ada pelbagai jenis makanan yang boleh diberikan kepada ikan Oscar antaranya palet, cengkerik, anak ikan atau ikan yang disejuk beku.

"Seperti ikan Oscar yang dibela saya, makanan jenis palet menjadi pilihan. Kadangkala saya berikan ikan sejuk beku yang sudah siap disiang seperti isi ikan selar dan anak ikan.

"Saya tidak ingin membiasakan haiwan itu dengan memberi makanan jenis 'hidup' seperti anak ikan kerana khuatir apabila terputus bekalan ia pasti menimbulkan kesukaran kepada saya memberi makanan kepada ikan ini," katanya.

Katanya, bagi memberi nilai estetika yang menarik dalam akuarium yang dihuni ikan Oscar, pemilik boleh menghias akuaskap yang mempunyai campuran tumbuhan dan pasir.

"Kita juga boleh meletakkan jenis kayu hanyut dalam akuarium supaya keadaan di dalamnya kelihatan seperti keadaan dalam habitat asalnya. Ada juga yang hanya akuarium kosong, tetapi mempunyai pencahayaan dari lampu supaya menonjolkan ciri-ciri yang ada pada ikan Oscar seperti corak uniknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 7:00 AM