LEBIH 20 jenis rawatan kecantikan ditawarkan di Estelle Beauty dalam  suasana lima bintang.
LEBIH 20 jenis rawatan kecantikan ditawarkan di Estelle Beauty dalam suasana lima bintang.
Sri Ayu Kartika Amri


AFZ Global, syarikat milik Bumiputera yang mengendalikan spa kecantikan di bawah jenama Estelle Beauty merancang untuk meluaskan rangkaian di sekitar Lembah Klang, menjelang tahun depan.

Pengasas Estelle Beauty, Anis Fasihah Zamri berkata, pada masa ini, pihaknya memfokus cawangan di Summit USJ, yang menjadi pusat sehenti untuk rawatan kecantikan.

Katanya, menjelang akhir tahun ini, pihaknya menyasarkan untuk membuka satu cawangan di Kuala Lumpur dengan lokasi potensi adalah di sekitar Setapak, Gombak atau Sentul.

"Di Estelle Beauty kami menawarkan lebih kurang 20 jenis rawatan kecantikan bermula daripada hujung rambut hingga ke kaki pada harga berpatutan.

"Kami juga merancang untuk membuka sistem francais kerana bidang rawatan kecantikan ini sentiasa mendapat permintaan.

"Kelebihan Estelle Beauty, persekitaran pusat rawatan kami ubah suai dengan mewujudkan suasana lima bintang, selesa dan beautician yang bertauliah tetapi semuanya boleh didapati pada harga mampu milik," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, syarikat juga akan memperkenalkan perkhidmatan rawatan laser dengan membawa masuk mesin kecantikan canggih dan terkini untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Anis berkata, Estelle Beauty turut menyediakan rawatan kuku kaki dan tangan untuk kanak-kanak serendah RM25.

Beliau berkata, pengalamannya selama lebih enam tahun dalam bidang kecantikan akan digunakan sebaiknya untuk menawarkan rawatan dan penjagaan kecantikan kepada pelanggan.

"Persaingan memang banyak tetapi untuk kekal relevan saya sebagai pengasas akan turun 'padang' dan menambah baik servis ditawarkan.

"Semua kakitangan kami juga diberi latihan bagi memberi perkhidmatan berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 6:10 AM