TAMAN tema Bertam Resort & Water Park, Bertam.
TAMAN tema Bertam Resort & Water Park, Bertam.

Kepala Batas: Sebuah projek baharu dinamakan Bertam Resort and Water Park bernilai RM90 juta bakal menjadi tarikan utama di kawasan itu sekali gus menjana kesan limpahan ekonomi tempatan apabila siap kelak, kata pemaju projek Anas Construction Sdn Bhd.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohamed Iqbal S Habeeb Noohu berkata, taman tema air itu kini 98 peratus siap dan dibuka pada pertengahan Disember depan.

"Kami jangka taman tema itu menerima 200,000 pengunjung setahun.

"Mengenai resort, ia dijangka siap pada suku pertama tahun depan," katanya.

Mengenai harga tiket, beliau berkata, ia belum dimuktamadkan, tetapi ia berpatutan.

Terdahulu, Mohamed Iqbal membentangkan kemajuan projek itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kepala Batas.

Reezal Merican berkata, jangkaan 200,000 pelawat setahun adalah konservatif tetapi boleh dicapai, sambil menambah bahawa projek itu dijangka menyediakan 300 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta menjana peluang perniagaan baharu di kawasan Kepala Batas.

Resort dan taman tema bertaraf lima bintang berkonsepkan Maghribi ini dibina di atas tanah berkeluasan 8.09 hektar dan dimiliki sepenuhnya oleh The Maritime Water Front Suites Sdn Bhd.

Ia terletak di Bertam, kira-kira 20 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 7:02 AM