IBU bapa pencorak kehidupan anak.
IBU bapa pencorak kehidupan anak.
Mohd Fahimi Zakaria

ANAK adalah anugerah istimewa daripada Allah SWT buat ibu bapa yang mesti disyukuri dan dijaga dengan baik menurut acuan agama Islam.

Seperti halnya isteri cerminan kepada suami, maka anak-anak pula cerminan kepada ibu bapa khususnya dari sudut akhlak sama ada perkataan mahupun perbuatannya.

Apabila nilai keperibadian Islam mereka runtuh dengan sikap yang buruk dan sifat mazmumah, maka hal itu menandakan kelemahan sistem pendidikan anak-anak di rumah.

Ibu bapa perlu bertanggungjawab atas kegagalan ini lantaran ibu bapa adalah guru pertama mereka manakala rumah ibu bapa pula sekolah pertama mereka.

Pendidikan Islam adalah satu subjek teras yang wajib diterap dan diamalkan dalam sesebuah keluarga dalam proses pembinaan kekeluargaan Islam iaitu anggota keluarga yang mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian.

Justeru, pendidikan Islam ialah subjek manakala kekeluargaan Islam pula objektif yang akan menghasilkan produk yang berkualiti iaitu anggota keluarga yang berakhlak mulia sama ada ibu bapa mahupun anak-anak.

Cerminan yang elok ini pastinya menghasilkan pantulan yang elok melalui keperibadian anak-anak yang soleh dan solehah.

Syeikh Dr Abdullah Nasih 'Ulwan RH mengatakan bahawa Saidina 'Ali RA membahagikan pendidikan anak-anak kepada tiga peringkat yang dikenali sebagai tujuh tahun pertama, kedua dan ketiga.

Tujuh tahun pertama ialah peringkat bermain dengan ereka, tujuh tahun kedua (7-14 tahun) pula peringkat berperaturan dan tujuh tahun ketiga (14-21 tahun) ialah peringkat bersahabat (Tarbiyah al-Awlad fi al-Islam).

Ulama berpendapat, peringkat kedua adalah penentu utama keperibadian anak-anak kerana peringkat ini mereka mesti diberi pendidikan, peraturan dan hukuman.

Peringkat ini adalah seperti pelajar tahun 1 hingga tingkatan 2 yang wajib didedahkan kepada mereka tentang hukum hakam agama seperti rukun Islam dan iman, peraturan yang boleh (do) dan tidak boleh (don't) serta hukuman jika mereka gagal.

Al-Quran menjelaskan melalui ayatnya yang bermaksud: "Terzahirnya kerosakan di daratan dan lautan berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia" (Surah al-Rum: 41).

Berdasarkan ayat ini, Ibnu 'Abbas RA mengatakan bahawa kerosakan (al-fasad) ini termasuk dosa, maksiat, kejahatan dan keburukan yang berlaku di daratan dan lautan manakala kejahatan tangan manusia pula bermaksud pengkhianatan amanah dan kerakusan manusia dalam tanggungjawabnya sebagai pemimpin sehingga merosakkan segala isi dunia (Tafsir Ibn Kathir).

Jika anak-anak rakyat, maka ibu bapanya pemimpin. Jika anak-anak pekerja, maka ibu bapanya majikan.

Ibu bapa pencorak kehidupan anak-anak sehingga corak dan penampilan mereka adalah hasil daripada kesungguhan ibu bapa membina dan membentuk mereka.

Biar ibu bapa menghadapi kerugian hari ini kerana habis wang, masa dan tenaga kerana mendidik mereka daripada kerugian menanggung malu dan derita akibat keruntuhan akhlak mereka.

Seperti pepatah Melayu yang menyebut: "Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian".

Penulis Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 5:59 AM