PEMAIN MMU, Ahmad Faiz (kanan) cuba melepasi kawalan pemain UiTM Perlis dalam saingan di Stadium Cyberjaya. Tuan rumah tewas 0-1.
PEMAIN MMU, Ahmad Faiz (kanan) cuba melepasi kawalan pemain UiTM Perlis dalam saingan di Stadium Cyberjaya. Tuan rumah tewas 0-1.

Kuala Lumpur: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengekalkan rekod tanpa kalah dan terus menguasai carta Divisyen Satu bola sepak Liga Institusi Pengajian Tinggi selepas membelasah Kolej Komuniti Pahang (KK Pahang) 4-1 di Stadium USIM, Nilai Sabtu lalu.

Berbekal tujuh kemenangan dan satu seri dengan keseluruhan 22 mata, pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu itu makin hampir muncul juara pada percubaan tahun pertama dalam Divisyen Satu musim ini selepas menjuarai Divisyen Dua musim lalu.

Aksi juara bertahan, UiTM Perlis yang melayan kunjungan ‘abang’, UiTM Shah Alam di Arau esok akan mempengaruhi peluang UniSZA yang berbaki empat perlawanan.

UniSZA bagaimanapun tidak beraksi minggu ini dan akan ke Arau menentang UiTM Perlis pada 6 Jun, perlawanan yang mungkin menjadi penentu buat mereka untuk menjulang trofi.

UiTM Perlis kini di tangga ketiga dengan sembilan mata selepas lima perlawanan termasuk menewaskan Universiti Multimedia 1-0, Sabtu lalu.

Sementara itu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) terus bersaing rapat selepas 10 perlawanan Divisyen Dua.

Ketika aksi berbaki empat perlawanan, pasukan dari Gombak, Selangor itu menguasai carta dengan 24 mata manakala pasukan dari Pulau Pinang di tangga kedua dengan 22 mata.

Pada pusingan pertama 11 April lalu, UIAM tewas 0-3 di Pulau Pinang. Bagaimanapun mereka menebus kekalahan itu dengan kemenangan 2-0 ketika melayan kunjungan USM, 9 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 6:41 AM