PEMAIN UniSZA bersedia hadapi temasya Piala Menteri Pendidikan, bulan depan.
PEMAIN UniSZA bersedia hadapi temasya Piala Menteri Pendidikan, bulan depan.

Kuala Lumpur: Pilihan utama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diihat mampu memenuhi impian meraih trofi ketiga bola sepak musim ini apabila saingan Piala Menteri Pendidikan bermula 6 September.

Tanpa juara bertahan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menarik diri kerana terbabit dalam Liga FAM, UniSZA menjadi pilihan popular selepas menjuarai Divisyen Satu Liga IPT dan mengungguli Piala Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), dua minggu lalu.

Namun UniSZA perlu waspada kerana mereka diundi ke dalam Kumpulan C bersama juara Divisyen Dua, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Turut berada dalam kumpulan ini, UiTM Pahang dan Politeknik Perak.

Naib juara Piala Menteri musim lalu, UiTM Perlis yang dibelasah UKM 3-0, mengetuai Kumpulan D bersama naib juara Divisyen Dua, Universiti Sains Malaysia (USM), naib juara Piala MASUM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UiTM Sarawak.

UiTM Perlis yang dibimbing bekas pemain Perlis/Kedah, Manja Man adalah naib juara Divisyen Satu musim ini dan satu-satunya pasukan yang menewaskan UniSZA dalam saingan Divisyen Satu.

UiTM Shah Alam yang sebelum ini dilihat sebagai ‘raja’ Liga IPT sebelum kebangkitan UKM, UiTM Perlis dan UniSZA, diundi ke dalam Kumpulan A bersama Universiti Mutimedia (MMU), juara 2013, Universiti Malaya (UM) dan Universiti HELP kampus Damansara.

“Kami lihat ada ruang dan peluang untuk memenuhi impian meraih trofi ketiga musim ini,” kata Penolong Pengurus UniSZA, Fadialah Mamat.

“Bagaimanapun kami tetap menghormati UiTM Perlis selain UiTM Shah Alam dan UIAM yang berupaya membantutkan usaha kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:27 AM