Pemain MMU, R Sauntaryan (kiri) cuba megekang asakan pemain pertahanan UniSZA dalam aksi di Stadium MMU Cyberjaya, Sabtu lalu.
Pemain MMU, R Sauntaryan (kiri) cuba megekang asakan pemain pertahanan UniSZA dalam aksi di Stadium MMU Cyberjaya, Sabtu lalu.

Kuala Lumpur: Kehebatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) makin menyerlah apabila menang mudah 3-0 ke atas Universiti Multimedia (MMU) dalam saingan bola sepak Divisyen Satu Liga Institusi Pengajian Tinggi di Cyberjaya, Sabtu lalu.

“Saya simpati dengan nasib MMU yang terpaksa mengharungi perlawanan dengan semua muka baru,” kata penolong pengurus UniSZA, Faziallah Mamat.

Kemenangan ini membolehkan pasukan dari Kuala Terengganu itu menduduki tangga teratas mengatasi penyandang juara, UiTM Perlis yang tewas kepada pelawat, Kolej Komuniti Pahang (KK Pahang) 3-2.

Minggu sebelumnya, UiTM Perlis tewas kepada UniSZA 2-0.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah pemain kami beraksi sebagaimana dirancang dan mengambil peluang di atas ‘kelemahan’ lawan sekalipun bermain di gelanggang mereka,” tambah Faziallah.

Sementara itu, KK Pahang menduduki tangga kedua, sekali gus menolak pasukan elit, termasuk juara hatrik, UiTM Shah Alam di tempat ketiga dan UiTM Perlis keempat.

Politeknik Kota Bharu (PKB) terus cetus tanda tanya kerana belum turun beraksi selepas tiga minggu. Dua perlawanan awal membabitkan pasukan dari Kelantan menentang MMU dua minggu lalu dan berdepan UiTM Shah Alam Sabtu lalu terpaksa ditunda ke satu tarikh lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:01 AM