Anggota MALBATT 850-11, Allahyarham Sarjan Faridah Abd Rahman dilaporkan meninggal dunia, semalam ketika bertugas di Lubnan. - Foto Ihsan ATM
Anggota MALBATT 850-11, Allahyarham Sarjan Faridah Abd Rahman dilaporkan meninggal dunia, semalam ketika bertugas di Lubnan. - Foto Ihsan ATM
Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kematian Sarjan Faridah Abd Rahman berpunca akibat serangan jantung.

Markas ATM (MK ATM) dalam kenyataan berkata, perkembangan itu berpandukan hasil bedah siasat dijalankan Hospital Hammoud, Saida, Lubnan, kira-kira jam 7.45 malam (waktu tempatan), Ahad lalu.

"Keputusan awal bedah siasat sudah diperoleh Isnin lalu dan hasil bedah mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat 'cardiopulmonary arrest due to myocardial ischemia/thrombosis' atau serangan sakit jantung.

"Urusan dokumentasi dengan pihak berkuasa Lubnan dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) sudah diselesaikan pihak MALBAT 850-11 dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Beirut.

"Ia bagi tujuan membawa pulang jenazah ke tanah air menggunakan pesawat komersil pada jam 5.05 petang (waktu tempatan), Khamis ini," katanya di sini, hari ini.

Allahyarhamah Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas rebah ketika turun dari bas di Kem Marakah, Lubnan selepas pulang bercuti selama sebulan di Malaysia.

Allahyarhamah disahkan meninggal dunia pada 2.25 pagi waktu Lubnan, Sabtu (7.25 pagi waktu Malaysia).

Faridah meninggalkan empat anak iaitu Nurul Syifa, 13; Muhammad Afnan, 10; Nurul Jannah, 7, dan Ainul Mardiah, 4.

Sementara itu, MK ATM berkata, penghormatan terakhir dan solat jenazah Allahyarham Faridah akan dilaksanakan di Pangkalan Udara Subang di sini, pada jam 7 pagi, Sabtu ini.

"Solat jenazah akan dilaksanakan di Pangkalan Udara Subang, diberikan penghormatan sebelum dibawa ke kampung halamannya di Pendang, Kedah.

"Jenazah kemudian akan dibawa menggunakan pesawat angkut Tentera Diraja Malaysia dan dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar, Kampung Tengah di Pokok Sena, Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 5:02 PM