- Foto hiasan
- Foto hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Tujuh pelajar sekolah menengah ditahan berhubung pembabitan mereka dengan kumpulan kongsi gelap di sekitar daerah ini baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua daripada suspek berkenaan akan dituduh di mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan hari ini.

"Untuk kes ini pihak polis membuka dua kertas siasatan membabitkan laporan polis yang dibuat pada 16 dan 17 Mei.

"Jadi, saya memberi amaran kepada pelajar supaya tidak terbabit dengan aktiviti haram seperti ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Polis Selangor sentiasa memantau aktiviti jenayah terutama membabitkan kongsi gelap dan tidak dinafikan ada daripada mereka yang cuba merekrut ahli dari kalangan pelajar sekolah menengah.

"Setakat ini keadaan terkawal walaupun memang ada dua, tiga kes yang cuba penetrate (menembusi) sekolah untuk rekrut remaja belasan tahun.

"Kepada pelajar, laporkan kepada pihak sekolah sekiranya ada yang tawar menjadi ahli (kongsi gelap) dan polis akan mengambil tindakan tegas.

"Sebarang maklumat berkaitan perkara ini (kongsi gelap) atau individu yang mengetahui berkenaan aktiviti ini diminta maklumkan kepada pihak polis," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, gara-gara menolak ajakan rakan untuk menjadi ahli kongsi gelap Geng 24, beberapa pelajar sekolah menengah di sini cedera akibat dibelasah sekumpulan samseng menggunakan kerusi plastik baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 4:37 PM