KEADAAN motosikal yang dibakar seorang lelaki berhampiran sebuah masjid di Ara Damansara. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN motosikal yang dibakar seorang lelaki berhampiran sebuah masjid di Ara Damansara. FOTO Ihsan Polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Berang kerana ditegur, seorang lelaki bertindak di luar kawalan lalu membakar sebuah motosikal berhampiran sebuah masjid di Ara Damansara, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun pada hari sama.

Menurutnya, selain motosikal mangsa yang musnah terbakar, kereta Perodua Myvi dan Axia yang berada berhampiran lokasi kejadian turut mengalami kerosakan.

"Atas sebab tertentu mangsa menegurnya, lalu kerana tidak berpuas hati suspek menendang motosikal milik mangsa dan membakarnya menggunakan pemetik api.

"Keseluruhan motosikal itu rosak akibat terbakar dan bahang daripada api menyebabkan dua kereta lain mengalami kerosakan," katanya ketika kepada Harian Metro.

Shahrulnizam berkata, Perodua Axia berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian lampu belakang bahagian kanan dan Perodua Myvi lampu hadapan mengalami keretakan.

Katanya, kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan fizikal kepada mangsa atau mana-mana pihak berkaitan.

"Polis sudah mengenal pasti identiti dan alamat kediaman suspek tetapi masih belum diberkas.

"Polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 4:43 PM