Kuala Lumpur: Ketika Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus mengukuhkan penguasaannya, kebangkitan Universiti Multimedia (MMU) pada saingan Divisyen Satu bola sepak Liga Institusi Pengajian Tinggi amat melegakan jurulatihnya.

Menang dua perlawanan berturut-turut selepas tewas semua tiga aksi awal, menyaksikan pasukan e-Bee dari Cyberjaya itu melonjak ke tangga keempat, setapak di atas zon penyingkiran ke Divisyen Dua musim depan.

UniSZA kekal di tangga teratas dengan 13 mata sekalipun tidak beraksi Sabtu lalu apabila lawannya, Politeknik Kota Bharu (PKB) masih belum bersedia manakala pencabar terdekat, bekas juara, UiTM Shah Alam hanya mampu seri 1-1 ketika berdepan Kolej Komuniti Pahang (KK Pahang (KK Pahang).

MMU melakar kemenangan pertama pada 31 Mac lalu menewaskan KK Pahang 2-1 dan selepas berehat panjang, mereka membenam Kolej Komuniti Kedah (KK Kedah) 3-1, Sabtu lalu.

“Kami bernasib baik kerana rata-rata pemain KK Kedah juga muka baru,” kata Mohd Faizal Md So’od (gambar). “Saya harap pemain dapat mengekalkan momentum selepas mendapat semangat baru dengan dua kemenangan berturut-turut ini.”

MMU berehat dua minggu selepas ini dan hanya kembali ke gelanggang menentang PKB pada 2 Mei tetapi dengan situasi semasa, lawannya mungkin minta penangguhan.

Ini bermakna MMU akan hanya menanti kedatangan KK Kedah pada 9 Mei untuk perlawanan pusingan kedua liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 11:45 AM