ANGGOTA JPAM memeriksa lori yang terjunam ke dalam gaung. FOTO ihsan JPAM Sabah
ANGGOTA JPAM memeriksa lori yang terjunam ke dalam gaung. FOTO ihsan JPAM Sabah
Oleh Junaidi Ladjana


Papar: Tiga maut manakala seorang parah selepas lori tiga tan dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter di Jalan Kimanis berhampiran pejabat Taman Negara, Papar, 5.50 petang tadi.

Identiti tiga mangsa termasuk seorang perempuan masih belum dikenal pasti dan proses mengangkat mayat sedang dijalankan oleh anggota bomba dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Keningau.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendi K Ramin berkata, sebaik menerima maklumat pada 5.54 petang sebuah jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kemalangan membabitkan sebuah lori tiga yang dipercayai terbabas lalu merempuh tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam gaung.

"Akibat kejadian itu, tiga maut iaitu dua lelaki dan seorang perempuan manakala seorang lagi parah," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Geogre Abd Rakman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan anggota polis masih berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 9:55 PM