Kemalangan mengorbankan suami isteri di Jalan Kimanis, Kampung Lanas, Papar, hari ini. FOTO ihsan bomba
Kemalangan mengorbankan suami isteri di Jalan Kimanis, Kampung Lanas, Papar, hari ini. FOTO ihsan bomba
Junaidi Ladjana


SUAMI isteri maut, manakala anaknya parah dalam kemalangan tiga kenderaan termasuk dua lori di Jalan Kimanis, Kampung Lanas, Papar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, Danny chin, 54, dan isterinya Chong Chin Oji, 55, meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak pasangan itu, Bernie Chin Sun Ron, 17, yang parah dibawa ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut dan dilaporkan masih kritikal.

Sementara itu, dua pemandu dan seorang kelindan, daripada dua lori berkenaan turut cedera dan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, tiga beranak itu menaiki kereta Toyota Vios dan dalam perjalanan dari Beaufort ke Kota Kinabalu.

Sebuah lori dipandu dari arah sama, manakala sebuah lagi dari arah Kota Kinabalu ke Beaufort.

Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar Mohd Hamdani Mohd Harith berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.05 petang.

Beliau berkata, susulan itu, sebuah jentera bersama lapan anggota bomba ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Toyota Vios dan dua lori.

"Dua mangsa daripada Toyota Vios disahkan meninggal dunia, manakala penumpang parah dan dibawa ke Hospital Papar.

"Tiga mangsa dari dua lori yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 6:08 PM