ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Jason dari loji air.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Jason dari loji air.
Oleh Junaidi Ladjana

Papar: Usaha tiga lelaki menyelamatkan rakan mereka yang disedut tekanan air ketika membaiki batang paip yang rosak di loji di Bukit Melinsung di Jalan Papar Baru di sini, jam 8.30 malam kelmarin gagal menyebabkan mangsa mati lemas.

Mangsa, Jason Impas, 23, berasal dari Kampung Ramayah, Penampang kemudiannya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Geogre Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakannya melakukan kerja membaiki batang paip bersaiz 18.4 sentimeter di loji berkenaan.

“Selepas menggali tanah sedalam 1.2 meter di lokasi berkenaan, mangsa memasang alat penyambungan batang paip. Bagaimanapun, kaki kanan mangsa disedut masuk ke dalam satu daripada batang paip dipercayai akibat tekanan air daripada dalam batang paip berkenaan.

“Pada masa sama, air paip dari loji itu mengalir deras melalui paip yang mangsa baiki menyebabkan lubang digali dipenuhi air,” katanya.

Menurut Geogre, pada masa sama, mangsa sukar menyelamatkan diri kerana kakinya tersangkut di dalam batang paip terbabit.

Melihat kejadian, ketiga-tiga rakan mangsa cuba menariknya keluar daripada lubang berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka gagal menyebabkan mangsa terperangkap dan lemas. Anggota bomba dihubungi kemudiannya membantu mengeluarkan mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Papar dan pihak hospital mengesahkan dia mati akibat lemas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dalam kejadian terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Papar Dunstan Peter berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:22 AM