ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa keluar dari kenderaan.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa keluar dari kenderaan.
Oleh Junaidi Ladjana


Papar: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan lori tiga tan di kilometer 29 Jalan Papar-Beaufort, petang tadi.

Dalam kejadian jam 1.40 petang itu, mangsa Mohd Eldzie Adzly Mohammad dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Manakala pemandu lori berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Geogre Abdul Rakman berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori tiga tan memotong sebuah lori dan tiba-tiba datang kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu mangsa dari arah bertentangan.

"Pemandu lori dikatakan cuba mengelak ke arah sebelah kanan, tiba-tiba mangsa juga mengelak ke kanan lalu berlaku pertembungan.

"Mangsa tersepit di dalam kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian" katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 6:33 PM