Oleh Azlan Hafeedz


Pasir Puteh: Tahap kecergasan Austin Amutu meresahkan kem Kelantan apabila pemain itu berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan ketika menentang Pahang dalam pertemuan pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Amutu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, sekali gus menyebabkan pengendali Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah tidak menaruh harapan tinggi untuk menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.

Azraai berkata, walaupun khidmat Amutu masih samar, beliau tetap mempunyai pilihan lain bagi mengisi posisi ditinggalkan pemain itu.

Katanya, Wan Zack Haikal dan Khairul Izuan Rosli dua pemain tumpuan yang mampu menggalas tanggungjawab untuk digandingkan dengan Erwin Carillo dan Gilmar Dos Santos di bahagian depan.

“Benteng Pahang diketuai Mohd Razman Roslan sukar ditembusi namun jika pemain bijak merencanakan arahan saya, tentu misi mendapatkan gol awal tercapai.

“Dickson Nwakaeme, Matias Conti, Mohd Hafiz Kamal, Mohd Azamuddin Md Akil dan R Gopinathan perlu diawasi selain pemain perlu mengelak daripada memberi lawan sepakan percuma di luar kotak penalti,” katanya selepas sesi latihan, kelmarin.

Kelantan layak ke separuh akhir selepas mengalahkan Sime Darby FC dengan agregat 4-1 manakala Pahang membenam Pulau Pinang 4-2 pada suku akhir bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:13 AM