AZRAAI (kanan) beri arahan kepada pemain Kelantan.
AZRAAI (kanan) beri arahan kepada pemain Kelantan.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Kelantan nekad memenangi perlawanan bertemu Pahang di Stadium Sultan Muhammad ke IV, malam ini untuk keluar daripada kedudukan kelompok lima terbawah carta Liga Super.

Ketua jurulatih Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah berpendapat, walaupun baru menempuhi enam perlawanan, kedudukan itu perlu diperbaiki segera sebelum memasuki pusingan kedua liga.

Pengendali berusia 62 tahun itu berkata, kemenangan terhadap Pahang penting sebagai penyuntik semangat berdepan Selangor dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada perlawanan berikutnya.

“Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan antara pasukan terhebat musim ini dan beliau bersama pasukan sedia mengekang kemaraan kami.

“Dua hari lalu, saya mengambil peluang memperbaiki beberapa kelemahan di posisi tertentu dan hasilnya, saya nampak pemain agak selesa dengan perubahan itu.

“Perubahan posisi itu penting dan perlu seimbang dengan lawan yang memiliki ramai pemain berbahaya serta pernah beraksi di pentas antarabangsa,” katanya.

Azraai berkata, bekas penyerang Kelantan, Dickson Nwakame dan Matias Conti bakal menjadi pemusnah harapan Kelantan jika tidak dikawal rapi selain kemasukan import baru, Matthew Davies, 20, sebagai pertahanan baru Pahang turut memperkuatkan lagi benteng pasukan itu.

“Pemain tempatan seperti Mohd Hafiz Kamal, Azidan Sarudin, Mohd Azamuddin Md Akil, R Gopinathan, R Surendran dan Mohd Fauzi Roslan juga perlu dirantai kerana mereka mampu menjaringkan gol.

“Namun, tidak bererti Kelantan mudah mengaku kalah dan saya harap pemain menumpukan penuh perhatian terhadap perlawanan,” katanya.

Ditanya mengenai dua calon baru awang import, Austin Amutu dari Nigeria dan Gonzalo Bonafica yang baru menjalani latihan, kelmarin, Azraai berkata, beliau lebih tertarik keupayaan Austin kerana bekas pemain Olimpik bawah 23 tahun itu memiliki kekuatan, kelajuan dan teknik.

“Namun ia masih di peringkat awal kerana banyak perkara perlu diteliti termasuk dua lagi import yang kini sudah tiba di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, Emmanuel Kenmogne dan Pupo Isaac Tuku pasti diturunkan memandangkan mereka masih mempunyai kontrak dengan Kelantan.

“Kudrat mereka ditagih bagi membantu Erwin Carillo serta pemain tempatan lain dalam usaha membantu mencari gol kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:35 AM