Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Enggan menganggap wira, sebaliknya penyerang import Iwuju Austin Amutu lebih gemar menyifatkan dirinya sebagai pelengkap pasukan dalam menjayakan misi Kelantan menjulang Piala FA.

Amutu sedar dia pasti dikawal ketat pemain LionsXII dalam perlawanan malam ini namun pemain dari Nigeria itu berjanji melakukan yang terbaik bagi menguatkan jentera serangan.

“Setiap ruang akan saya manfaatkan dan lebih penting perlu licik untuk melarikan diri daripada sekatan lawan.

“Saya tidak anggap diri sebagai hero disebabkan berjaya membantu Kelantan dengan dua jaringan pada perlawanan separuh akhir lalu kerana Kelantan kuat lantaran keserasian dan kesepakatan kami.

“Seperti perlawanan sebelum ini, saya akan manfaatkan setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol kerana Piala FA mesti kembali ke pangkuan Kelantan,” katanya.

Amutu berkata, teman wanitanya yang dikenali sebagai Ayo menghantar pesanan ringkas menerusi aplikasi Whatsapp dengan ayat: “Sayang, saya percaya awak boleh lakukannya. Buktikan kehebatan awak dalam perlawanan itu nanti.

“Ia pesanan yang sangat istimewa dan akan menjadi pemangkin semangat saya.

“Semua latihan sebelum ini akan dimanfaatkan dalam perlawanan. Saya juga berharap penyokong Kelantan membantu kami untuk beraksi cemerlang,” katanya.

Pemain skuad Olimpik B-23 tahun Nigeria itu dijangka bergandingan dengan Erwin Carillo dan Gilmar Dos Santos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 6:08 AM