ZULFADLI
ZULFADLI
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: “Jika Lin Dan boleh mengapa tidak Lee Chong Wei,” kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengharapkan kelibat bekas pemain nombor satu negara itu beraksi pada Kejohanan Dunia di Jakarta Ogos ini atas tiket wild card.

Beliau tidak menafikan peluang buat Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli kerana tidak adil buat mereka andai salah seorang daripadanya terpaksa dikorbankan demi memberi laluan kepada Chong Wei.

Namun semua itu terserah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membuat keputusan kerana mereka perlu mengikut peraturan ditetapkan Persatuan Badminton Dunia (BWF) dalam pemilihan pemain.

Mengikut peraturan BWF, setiap negara hanya dibenarkan menghantar dua wakil menghuni kedudukan ranking terbaik yang kini menjadi milik Wei Feng di ranking 31, Zulfadli (41) manakala Chong Wei (45).

Khairy berkata, beliau tidak mahu campur tangan dalam urusan pemilihan itu kerana semua orang tahu Chong Wei memang layak dan dia pemain terbaik negara dan mungkin terbaik dunia.

“Semua terpulang kepada BAM dan saya harap permohonan untuk Chong Wei beraksi atas tiket wild card dapat dipertimbangkan dan jika BAM sudah melakukan permohonan maka kita tunggu keputusan diputuskan nanti.

“Kita tahu Chong Wei tidak berada dalam ranking terbaik negara kerana digantung lapan bulan dan bukan kerana dia tidak layak. Dia layak dan sangat layak untuk pergi ke Kejohanan Dunia itu.

“Tapi BAM perlu membuat pertimbangan sewajarnya dan ini dilema dalam kepimpinan BAM untuk membuat keputusan. Yang penting saya mahu lihat Chong Wei beraksi atas tiket wild card,” katanya.

Khairy turut mengulas kedudukan Datuk Seri Shahidan Kassim yang mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Sabtu lalu.

Mengikut peraturan Kabinet, setiap menteri persekutuan, timbalan dan setiausaha Parlimen dilarang memegang mana-mana jawatan dalam persatuan sukan. Justeru beliau akan meminta Shahidan mengosongkan jawatan itu.

Namun andai Shahidan masih ingin mengendalikan tampuk pimpinan ASUM beliau perlu meminta pengecualian keputusan daripada Kabinet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 9:14 AM