Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Terpulang kepada Chong Wei Feng dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Itu reaksi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas ditanya pemilihan pemain ke Kejohanan Dunia 2015 Jakarta.

Menurutnya, Wei Feng kini mungkin berasa kecewa kerana tidak terpilih beraksi di kejohanan itu walaupun berdasarkan merit, dia pemain perseorangan terbaik negara dengan menduduki ranking lebih baik berbanding Zulfadli Zulkiffli dan Datuk Lee Chong Wei.

“Sekarang terpulang kepada BAM untuk menguruskan karier Wei Feng dan yakinkan pemain itu untuk terus kekal bersama mereka,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 Sarawak semalam.

Wei Feng, 27, yang dua kali beraksi di Kejohanan Dunia pernah mara ke pusingan ketiga namun tewas kepada Lin Dan dari China sekali gus menutup peluang ke suku akhir pada edisi 2013 selain tersingkir awal pada edisi berikutnya.

Keputusan siapa terpilih untuk kejohanan itu dibuat Isnin lalu dalam Mesyuarat Khas Exco BAM, Isnin lalu dan diumumkan presiden badan induk berkenaan, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menetapkan setiap negara hanya boleh menghantar dua pemain perseorangan ke kejohanan berkenaan.

BAM terpaksa membuat keputusan itu dalam keadaan dilema selepas Chong Wei bebas daripada penggantungan lapan bulan akibat gagal ujian doping di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen tahun lalu, selain keengganan BWF memberi wild card kepada bekas pemain nombor satu dunia itu.

Dalam pada itu, Khairy turut memuji persembahan memberangsangkan skuad badminton negara di Piala Sudirman 2015 Dongguan apabila muncul juara Kumpulan D dan mencapai sasaran mara ke suku akhir.

“Saya gembira dengan persembahan mereka dan kita tengok nanti (semalam) bagaimana pula aksi mereka di suku akhir. Berdasarkan aksi peringkat kumpulan kita dapat melihat sendiri siapa yang betul-betul bermain baik.

“Gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Chong Wei memberikan aksi mantap,” katanya berdasarkan prestasi Malaysia ketika mengalahkan Korea Selatan dan India dengan 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:25 AM