AFP

London: Pengurus Chelsea Jose Mourinho percaya gelaran Liga Perdana yang mereka miliki bukan mudah untuk dipertahankan selain yakin anak buahnya pasti bergelut menempatkan diri dalam kelompok empat teratas musim depan berikutan saingan yang semakin sengit.

Chelsea merangkul gelaran Liga Perdana buat kali pertama sejak 2010, kelmarin selepas Eden Hazard menjaringkan gol tunggal ketika bertemu Crystal Palace dan tiga mata diperoleh memastikan tidak ada pasukan lain mampu memintas.

Skuad kendalian Mourinho itu mendominasi sejak awal musim tetapi ketika Manchester City, Manchester United, Arsenal dan Liverpool semuanya dilihat semakin meningkat, beliau sedar saingan layak ke Liga Juara-Juara musim depan pastinya sengit.

“Kami akan cuba kekalkan kekuatan kerana jika tidak kuat, sudah tentu kami tidak berpeluang menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas sedangkan ia tempat yang menjadi sasaran utama pasukan di England,” katanya.

“Apabila bersaing menduduki salah satu daripada empat slot teratas, anda berpeluang muncul juara dan justeru kami perlu terus menang tahun depan.”

Kejayaan terbaru itu menyaksikan Mourinho sudah memenangi tiga gelaran Liga Perdana selepas dua kemenangan berturut-turut pada 2005 dan 2006 tetapi beliau enggan membandingkan anak buahnya ketika ini dengan yang lalu.

“Kami tidak sama,” katanya. “Liga Perdana sudah berbeza, Chelsea berbeza dan semua lawan juga berbeza.

“Sebahagian besar pemain saya menang Liga Perdana buat kali pertama dan mereka perlu belajar bagaimana memenanginya pada masa akan datang.”

Ketika dimaklumkan beliau kini mengumpul kejayaan serupa dengan Stan Cullis, Bill Shankly dan Arsene Wenger, Mourinho menjawab: “Saya akan cuba memenangi satu lagi gelaran.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 8:35 AM