PONDOK yang dipercayai tempat lelaki berehat dan tidur sebelum didapati meninggal dunia akibat dipanah petir. FOTO Ihsan Polis
PONDOK yang dipercayai tempat lelaki berehat dan tidur sebelum didapati meninggal dunia akibat dipanah petir. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Lelaki ditemukan tidak sedar diri sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai dipanah petir ketika sedang tidur di pondok rehat di hadapan rumahnya Kampung Pulau Tiga, Sungai Layar, di sini, semalam.

Mangsa, Mohammad Shahrim Sheh Ali, 31, yang bekerja sebagai pemandu kren itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, isteri mangsa membuat laporan polis pada 10 malam tadi memaklumkan suaminya tidak sedarkan diri ketika berada di pondok berkenaan.

Beliau berkata, pada mulanya isterinya yang berusia 31 tahun itu, abangnya dan rakan suaminya menyangka lelaki itu sedang tidur dan tidak mahu mengejutkannya.

"Namun ketika mengejutkan suaminya sebelum keluar, didapati lelaki itu tidak bergerak dan tidak sedarkan diri.

"Keluarga kemudian membawa lelaki itu HSAH untuk mendapatkan rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, isteri arwah memaklumkan suaminya dalam keadaan sihat dan siasatan mendapati lelaki itu tiada sebarang rekod sakit kronik.

Beliau berkata, siasatan terhadap terhadap mayat mangsa mendapati tiada unsur jenayah berlaku.

"Hasil siasatan mendapati kejadian kira-kira 9.45 malam ketika lelaki itu tidur berseorangan di atas buaian, dan cuaca hujan lebat serta petir.

"Ketika isteri dan rakan mangsa cuba mengejutkannya kira-kira 10 malam, didapati lelaki itu tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke HSAH untuk rawatan," katanya.

Wan Azharuddin berkata, siasatan di tempat kejadian turut menemukan kesan terbakar pada kayu untuk menggantung buaian dan wayar elektrik putus.

Beliau berkata, hasil bedah siasat juga mendapati terdapat kesan terbakar pada badan mangsa berpunca dari panahan petir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:12 PM