Bulan lalu, Singapura dan Hong Kong menghentikan penjualan beberapa rempah ratus yang dihasilkan oleh MDH dan Everest. FOTO REUTERS
Bulan lalu, Singapura dan Hong Kong menghentikan penjualan beberapa rempah ratus yang dihasilkan oleh MDH dan Everest. FOTO REUTERS
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengarahkan penjualan dua produk rempah dari India iaitu Everest Fish Curry Masala dan MDH Curry Powder yang dipercayai mengandungi etilena oksida dihentikan.

KKM menerusi kenyataan memaklumkan peniaga termasuk peniaga dalam talian yang mempunyai stok produk berkenaan diarahkan untuk menghentikan penjualan produk dan semua platform e-dagang serta media sosial diminta untuk menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut serta-merta.

"Etilena Oksida sering digunakan untuk membunuh serangga perosak dan turut digunakan dalam rempah untuk mengawal cemaran mikrobiologi yang berpunca daripada bakteria, virus dan kulat. Selain itu, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci.

"Penggunaannya dalam makanan dan juga bahan bersentuhan makanan adalah tidak dibenarkan disebabkan bersifat karsinogenik," menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan semakan data melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) setakat April lalu mendapati hanya terdapat satu pengimportan masuk produk rempah berjenama Everest Fish Curry Masala.

Namun begitu, KKM memaklumkan tiada pengimportan masuk produk rempah berjenama MDH Curry Powder ke Malaysia.

"KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk di seluruh negara," menurut kenyataan itu.

Pada masa ini, KKM melaksanakan pemantauan kandungan aflatoksin, logam berat dan residu racun perosak di dalam produk rempah di semua pintu masuk negara.

Hasil pemantauan dari 2019 hingga April lepas mendapati 43 sampel yang diambil mematuhi keperluan perundangan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:18 PM