BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia berupaya muncul sebagai hab utama bagi pembekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik (EV), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berkongsi keyakinan itu, Perdana Menteri berkata cip kuasa itu merupakan komponen penting dalam proses peralihan tenaga serta teknologi penyahkarbonan.

Beliau berkata EV misalnya mengandungi lebih daripada 3,000 cip yang juga dua hingga lima kali lebih banyak berbanding kenderaan dengan kapasiti enjin pembakaran dalaman.

"Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), kita sebenarnya telah mempunyai pengupaya dasar serta insentif yang tepat untuk syarikat yang mahu mengeluarkan cip itu di sini," kata Anwar ketika berucap pada persidangan SEMICON Asia Tenggara 2024 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menyasarkan untuk mempunyai 40 peratus campuran tenaga utama Malaysia daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2035.

Inisiatif itu bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 10 juta tan setahun selain mencapai 100 peratus TBB menjelang 2050.

"Kerajaan menyokong (usaha) meneroka teknologi baharu seperti hidrogen hijau, teknologi nuklear dan penyimpanan tenaga berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan memenuhi matlamat Perjanjian Paris 2015," kata beliau.

Perdana Menteri berkata bermula September ini, Akses Pihak Ketiga akan dibenarkan dalam industri bekalan elektrik negara yang membolehkan pihak lain membekal tenaga menggunakan saluran penghantaran Tenaga Nasional Bhd, sekali gus mencerminkan minat pelabur asing yang tinggi terhadap Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:26 PM
ANWAR bersama Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melawat reruai di Semicon South East Asia 2024. FOTO Bernama
ANWAR bersama Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melawat reruai di Semicon South East Asia 2024. FOTO Bernama