Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil melawat Apartment Putra Ria susulan insiden bumbung jatuh timpa kereta, Sabtu lalu. FOTO SADIQ SANI
Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil melawat Apartment Putra Ria susulan insiden bumbung jatuh timpa kereta, Sabtu lalu. FOTO SADIQ SANI
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak RM120,000 diperuntuk bagi kerja-kerja baik pulih bumbung Pangsapuri Putra Ria di sini yang rosak akibat kejadian ribut pada Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh bagi menyegerakan kerja-kerja baik pulih itu.

"Kita lihat kerja untuk baik pulih bagi kedua-dua blok ini dijangka menelan belanja sekurang-kurangnya RM120,000 dan saya akan berbincang dengan Datuk Bandar petang ini untuk menyegerakan kerja-kerja baik pulih.

"Saya harap kerja-kerja dapat dimulakan sesegera mungkin, kalau boleh kita nak mulakan esok tapi saya perlu adakan perbincangan sedikit dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk penyelarasan daripada segi penggunaan peruntukan itu," katanya.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan menghulurkan sumbangan kepada penduduk terkesan dengan kejadian itu.

Beliau juga berkata pihak pengurusan pangsapuri telah diminta memeriksa semua struktur bumbung di tiga blok pangsapuri itu supaya tindakan komprehensif boleh diambil sekiranya terdapat risiko kepada penduduk.

Sabtu lalu, kejadian ribut pada kira-kira 5 petang menyebabkan lapan rumah terjejas teruk di bahagian bumbung manakala lapan kenderaan iaitu lima motosikal dan tiga kereta di kawasan parkir rosak akibat ditimpa cebisan bumbung yang diterbangkan angin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 5:05 PM