RASHFORD (tengah) ledak dua gol untuk menceriakan penyokong United. FOTO/AFP
RASHFORD (tengah) ledak dua gol untuk menceriakan penyokong United. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Marcus Rashford meledak dua gol dalam 25 minit pertama untuk membantu Manchester United menewaskan Liverpool 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Jose Mourinho melebarkan kelebihan kepada lima mata daripada Liverpool, sekaligus kekal di kedudukan kedua liga di belakang Manchester City.

United bagaimanapun masih ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, namun apa yang lebih penting adalah kedudukan Red Devils dalam kelompok empat teratas semakin terjamin selepas 12 mata meninggalkan Chelsea di tangga kelima.

PEMAIN United, Juan Mata (tengah) ketika melakukan sepakan gunting.  FOTO/AFP
PEMAIN United, Juan Mata (tengah) ketika melakukan sepakan gunting. FOTO/AFP

Liverpool yang lebih menguasai bola sejak awal permainan dikejutkan dengan dua jaringan Rashford selepas Romelu Lukaku dikawal ketat Dejan Lovren.

Anak buah Jurgen Klopp yang meneruskan penguasaan pada babak kedua bagaimanapun hanya dapat merapatkan jurang gol hasil jaringan sendiri Eric Bailly ketika perlawanan berbaki 24 minit.

Kekalahan kedua dalam 21 perlawanan Liga Perdana Inggeris itu meninggalkan Liverpool di kedudukan ketiga, tetapi mereka boleh jatuh ke tangga keempat jika Tottenham menang di Bournemouth, Isnin ini.

Rashford mungkin tidak berada dalam barisan kesebelasan utama jika bukan kerana kecederaan yang dialami Paul Pogba ketika sesi latihan, semalam.

MOURINHO puas anak buahnya dapat menewaskan United. FOTO/AFP
MOURINHO puas anak buahnya dapat menewaskan United. FOTO/AFP

Tanpa bintang Perancis bernilai 89 juta pound (RM482 juta) itu, Mourinho meletakkan Alexis Sanchez di belakang Lukaku dan Rashford memulakan tugas pertamanya dalam kesebelasan utama musim ini di bahagian kiri.

“Jika orang fikir kami tidak berhak (menang), saya tidak peduli,” kata Mourinho. “Saya penat, kami mempunyai perlawanan pada Selasa, saya tidak peduli apa yang orang kata, pemain gembira, saya gembira.

“Kita boleh bahagikan kepada dua, United (menang) babak pertama dan Liverpool kedua. Tapi pada pendapat saya, separuh masa pertama adalah sangat sengit.

“Pada babak kedua, pada pandangan saya, dan mungkin pengulas di studio mempunyai pendapat yang berbeza. Liverpool mengawal bola dan United mengawal tanpa bola.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 12:01 AM