STERLING mula fasa hidup baru di City selepas tinggalkan Liverpool.
STERLING mula fasa hidup baru di City selepas tinggalkan Liverpool.

Dia dikecam kerana menjadi pemain bola sepak moden yang menerima bayaran mahal, namun ego menenggelamkan bakat dimilikinya.

Justeru tentu sekali peminat Raheem Sterling (gambar) akan berkurangan sebaik Liga Perdana Inggeris bermula hujung minggu ini, melainkan jika anda penyokong Manchester City.

Pemain berusia 20 tahun itu muncul pemain Inggeris termahal dalam sejarah apabila City sanggup membayar £49 juta (RM294 juta) untuk memutuskan hubungannya dengan Liverpool yang bermasalah.

City agak perlahan ketika musim perpindahan tetapi pembelian Sterling yang dianggap pengurus Liverpool, Brendan Rodgers sebagai pemain muda terbaik Eropah, bakal menjadi pelaburan terbaik Manuel Pellegrini.

Membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk pemain yang masih belum menjaringkan gol Liga Perdana Inggeris, apatah lagi menjulang sebarang gelaran dan masih jauh untuk menjadi pemain terbaik, dilihat satu langkah berani.

Begitupun Sterling memberikan harapan yang tidak kelihatan musim lalu, apabila mereka ketinggalan di belakang Chelsea dalam perburuan gelaran Liga Perdana Inggeris dan sekali lagi gagal di Liga Juara-Juara.

Memandangkan Sergio Aguero mungkin menjadi penyerang tunggal musim ini, keupayaan menggelecek bola dan kepantasan Sterling akan menyempurnakan barisan tengah menyerang yang dibarisi David Silva dan Samir Nasri serta Yaya Toure.

Dikelilingi pemain antarabangsa hebat yang lain, Sterling tidak akan menjadi fokus utama berbanding musim lalu di Liverpool meskipun mempunyai harga yang tinggi, jadi dengan permulaan baru dan semangat baru, permainan­nya akan menentukan segala-galanya.

“Dia memiliki apa yang tidak kami miliki dalam pasukan kami,” kata Pellegrini.

“Dia mempunyai kepantasan dan saya pasti pada masa akan datang, dia akan membuktikan mengapa kami membayar begitu banyak wang untuknya.”

Sekiranya Sterling bermula dengan baik dan mencapai tahap yang hampir membawa Liverpool menjulang gelaran musim 2013-14 selain memberi sumbangan kepada England sewaktu Piala Dunia Brazil, kepercayaan Pellegrini akan berbalas.

Pengkritik akan bersedia untuk menyerang sekiranya rancangan itu tidak menjadi, apatah lagi selepas mengharungi musim tanpa trofi apabila mudah menyerah kalah kepada kelab yang akhirnya tersingkir, serta membolehkan Chelsea berada di tangga teratas.

Menewaskan Jose Mourinho dan merampas kembali Liga Perdana Inggeris menjadi keutamaan Pellegrini, tetapi beliau juga mahu melangkah lebih jauh dalam Liga Juara-Juara selepas tewas pada pusingan 16 pasukan terakhir musim 2014-15, yang dianggap pencapaian terbaik mereka setakat ini.

“Saya pasti kami akan menjadi pasukan yang amat kompetitif dalam semua kejohanan,” kata beliau. “Saya melihat pemain bernafsu untuk memenangi satu lagi gelaran.”

Selain Sterling, City juga membelanjakan sekitar £20 juta (RM120 juta) untuk dua lagi pemain muda Inggeris, iaitu pemain tengah Fabian Delph dari Aston Villa dan pemain sayap Patrick Roberts dari Fulham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 1:30 PM