DARREN disahkan alami kecederaan hamstring.
DARREN disahkan alami kecederaan hamstring.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Taring skuad Harimau Malaya benar-benar tumpul apabila seorang lagi penyerang negara, Darren Lok disahkan mengalami kecederaan sekali gus memberi tamparan hebat buat pengendalinya, Kim Pan-gon.

Situasi serba tidak kena menyaksikan jurulatih dari Korea Selatan itu tiada pilihan apabila terpaksa memanggil pemain sayap Kuching City FC, Nur Shamie Iszuan Amin mengisi kekosongan bagi menghadapi dua aksi penting berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan pada 6 dan 11 Jun ini.

Menurut Pan-gon, beliau terpaksa melepaskan Lok yang disahkan mengalami masalah hamstring.

"Shamie menggantikan Darren Lok dari Sabah FC yang hadir melapor diri, semalam. Tetapi terpaksa dilepaskan (Darren Lok) hari ini selepas pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kecederaan hamstring.

"Semoga Darren cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang," kata Pan-gon, hari ini.

Sebelum ini, Shamie Iszuan berada dalam senarai menunggu dan ia peluang keemasan untuk pemain lincah itu menyerlahkan potensinya.

Semalam, kem negara kehilangan khidmat penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad yang tidak dapat menyertai latihan akibat kecederaan.

Tempat Syafiq digantikan tonggak tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya, yang sebelum ini turut berada dalam senarai menunggu.

Sebelum itu, tiga pemain utama di saingan Piala Asia Qatar Januari lalu terpaksa disingkirkan iaitu Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Romes Morales yang mengalami kecederaan.

Ketika ini skuad negara sedang bersiap sedia untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek dan Taiwan di Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 5:10 PM