Pelakon Nam Ron
Pelakon Nam Ron

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah berpengalaman Nam Ron, 55, memberi kata semangat kepada anak-anak muda yang gagal mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar jangan mengalah.

Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan berkata paling penting untuk dikuasai adalah kemahiran tertentu agar boleh digunakan sebaiknya dalam apa juga pekerjaan diceburi.

"Anak-anak, jangan putus asa hanya kerana keputusan SPM teruk. Belajar kemahiran kerana dengan skil kamu boleh berjaya dalam pekerjaan.

"Apa yang paling penting harus punya minat yang mendalam," katanya.

Nam Ron yang memegang diploma dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkongsi dia sendiri tidak berjaya beri yang terbaik dalam SPM.

Namun begitu, dia bersyukur dapat menebusnya dalam keputusan pengajian diplomanya.

"SPM saya teruk 1A pun tak ada. Dapat sambung diploma pun kerana ada kekosongan (kerana ada calon yang sudah terpilih tarik diri). "Beberapa tahun lepas, habis diploma saya dianugerahkan graduan cemerlang," katanya.

Media melaporkan, seramai 11,713 calon SPM 2023 atau 3.1 peratus memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dipetik berkata, angka itu menunjukkan peningkatan lebih baik berbanding tahun sebelum ini iaitu 10,109 calon atau 2.7 peratus.

Seramai 226,358 daripada 373,255 calon baharu SPM 2023 pula lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 57.1 peratus atau 213,624 calon pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 5:17 PM